EMPAT dekad dalam dunia lakonan bukan tempoh yang singkat. Lebih 300 produksi telah membabitkan dirinya, namun bagi pelakon veteran, Zulkifli Ismail, perjalanan menimba ilmu masih belum menemui titik noktah.
Pada usia 63 tahun, pemilik nama itu membuktikan bahawa usia dan pengalaman bukan penghalang untuk terus mengembangkan potensi diri apabila berjaya menggenggam Sarjana Pengajian Persembahan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lebih menarik, kejayaan tersebut diperoleh menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q), iaitu pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman dan pencapaian profesional terdahulu.
Pencapaian itu pastinya cukup bermakna buat Zulkifli yang sudah lama mewarnai industri seni tanah air. Namun, di sebalik pengalaman luas, beliau percaya seseorang anak seni tidak seharusnya hanya bergantung kepada bakat dan kemahiran yang dikumpul sepanjang kerjaya.
Sebaliknya, ilmu akademik juga penting bagi memperluas pemikiran serta meningkatkan pemahaman terhadap bidang yang diceburi.
“Walaupun saya mempunyai banyak pengalaman, saya perlu mempertingkatkan tahap pemikiran. Untuk itu, saya perlu menambah ilmu. Bakat dan pengalaman sahaja tidak cukup. Seseorang pelakon perlu ada ilmu,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Bukan sekadar menghafal skrip, pengalaman sebagai wartawan banyak membantu
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah, minat Zulkifli terhadap dunia lakonan sebenarnya sudah berputik sejak zaman persekolahan apabila beliau mula berjinak-jinak dengan pembacaan skrip teater.
Bagaimanapun, perjalanan kerjayanya tidak terus tertumpu kepada bidang seni apabila beliau terlebih dahulu menceburi dunia kewartawanan bersama Utusan Melayu pada 1984.
Pengalaman sebagai wartawan dan penulis skrip ternyata menjadi kelebihan tersendiri, khususnya dalam memahami karakter yang perlu dibawakan.
Bagi Zulkifli, menghidupkan sesuatu watak bukan sekadar menghafal dialog atau mengikut arahan pengarah. Sebaliknya, seseorang pelakon perlu membuat penyelidikan mengenai latar belakang, sifat dan pemikiran karakter agar persembahan yang ditampilkan lebih meyakinkan.
Kemahiran tersebut juga banyak membantunya sepanjang mengikuti proses penilaian APEL.Q, termasuk menyiapkan tugasan akademik dan dokumentasi pengalaman profesional.
Cabaran kumpul bukti perjalanan empat dekad
Di sebalik kejayaan menggenggam sarjana, perjalanan Zulkifli bukanlah semudah yang disangka.
Antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah menyediakan bukti pengalaman sepanjang lebih 40 tahun dalam industri seni.
Malah, beliau mengakui tidak semua penggiat seni mempunyai kebiasaan menyimpan rekod atau mendokumentasikan perjalanan kerjaya masing-masing.
Daripada lebih 300 produksi yang pernah disertainya, Zulkifli hanya mampu mengingati dan menyenaraikan kira-kira 250 judul, manakala selebihnya sudah tidak dapat diingati.
Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila masih menyimpan sebahagian skrip, gambar, keratan akhbar, jadual penggambaran serta baucar pembayaran sejak era 1980-an.
Segala bahan tersebut akhirnya menjadi bukti penting bagi menyokong pengalaman profesionalnya sepanjang proses mendapatkan pengiktirafan akademik.
Tidak mahu terus dibuai kegemilangan masa lalu
Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, kejayaan Zulkifli turut membawa makna besar kepada penggiat seni veteran yang memiliki pengalaman bertahun-tahun tetapi belum berpeluang memperoleh pengiktirafan akademik.
Beliau juga tidak keberatan berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi baharu yang mahu membina kerjaya dalam bidang seni.
Malah, pelakon itu turut menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang.
Buat rakan seperjuangan yang masih berfikir untuk kembali ke bangku pengajian, Zulkifli menitipkan pesanan agar tidak menjadikan usia sebagai alasan untuk berhenti belajar.
“Kepada rakan-rakan artis veteran yang mahu menambah ilmu, teruskan. Janganlah kita hidup dalam kegemilangan masa lalu. Kita cipta kegemilangan baharu,” katanya.
Untuk rekod, selain Zulkifli, dua lagi penggiat seni tanah air turut memperoleh Sarjana Pengajian Persembahan menerusi laluan APEL.Q di UPSI, iaitu penyanyi Anis Suraya atau nama sebenarnya Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman dan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail.
Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 yang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini menyaksikan seramai 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.