PENGACARA dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga, terutama adiknya, Amal Mohd, yang kehilangan satu-satunya abang dan teman membesar sejak kecil.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Amal meluahkan rasa kehilangan terhadap insan yang selama ini berkongsi pelbagai kenangan bersamanya, selain menyatakan keluarga reda dengan pemergian Allahyarham.
“ALLAH lagi sayang Along kami. Along pilih untuk bertemu penciptan-NYA sebelum kami di malam Jumaat yang mulia ni.
“Kami semua reda Along.
“Jangan risau, isteri dan anak-anak Along akan dalam jagaan yang baik.
“Masih tak percaya my one and only abang dalam dunia ni, yang kami membesar sama, gelak, marah, sedih dan macam-macamlagi sudah tiada.
“Along macam tidur je tadi macam yang kami selalu gelakkan sebelum ni. Cara tidur yang diwarisi anak-anak dan anak buah Along.
“Along selalu penat kan? Now you can rest my brother,” titipnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ahli keluarga yang terbaik.
"Muhammad Akhmal Asyraf Bin Mohd , awak anak dan abang terhebat kami. Al-Fatihah," kongsinya.
Dalam pada itu, isteri Allahyarham dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Malaysia ke Oman untuk berada di sisi suaminya beberapa jam sebelum pemergian Akhmal.
Berita kematian Allahyarham disahkan keluarganya menerusi hantaran di Threads sebelum turut dikongsikan rakan rapatnya, Saiful Nang.
Menurut Saiful, Akhmal menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman, selepas waktu Maghrib.
Saiful turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik dan disenangi ramai.
Berita pemergian itu mengundang ucapan takziah daripada rakan-rakan serta pengikut RARETV di media sosial.
Sebelum ini, beberapa laporan media memaklumkan Akhmal berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami demam yang kemudiannya disahkan sebagai jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 di Oman.
Menurut laporan berkenaan, beliau pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk rawatan lanjut.
Akhmal turut dilaporkan ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjayakan rakaman program yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari.
Ketika insiden berlaku, mereka dilaporkan berada pada hari keenam penggambaran.
Pemergian Akhmal yang dikenali menerusi kandungan kembara, dakwah dan pengembaraan di platform RARETV disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti pengikut serta rakan-rakan seangkatannya.
Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Astro Awani, Threads Amal Mohd & Saiful Nang