Bekerja dari rumah mungkin akan diteruskan untuk penjawat awam, bersediakah kita?

Iklan
Bekerja dari rumah mungkin akan diteruskan untuk penjawat awam, bersediakah kita?

AMALAN kerja dari rumah merupakan satu norma baru yang mesti diamalkan dalam sektor pekerjaan akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Sebenarnya konsep bekerja dari rumah (BDR) bukanlah fenomena baharu. Ia merupakan satu bentuk pengaturan kerja fleksi yang bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi organisasi, malah ia boleh meningkatkan kepuasan kerja khususnya dalam kalangan wanita berkeluarga yang berkerjaya.

Iklan
Iklan

Tinjauan SinarPlus melalui komen-komen di Facebook sebelum ini mendapati, ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat juga pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

Sehingga ada yang berhadapan dengan kesukaran apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Namun, demi mengekang penularan wabak kita semua perlu akur.

Iklan

Kini, keadaan dilihat beransur pulih dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan kita kembali bertugas seperti sedia kala tanpa perlu lagi duduk di rumah.

Iklan

Namun, kerajaan kini sedang mempertimbangkan secara mendalam untuk meneruskan pelaksanaan BDR sebagai amalan normal baharu dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, katanya ia memerlukan kajian lebih terperinci bagi memastikan ia dapat menepati hasrat pelaksanaannya.

"Terdapat dua objektif utama yang telah dikenal pasti iaitu untuk mitigasi risiko seperti pencemaran dan penularan penyakit, dan untuk menguruskan prestasi pegawai dengan mengimbangi keperluan kerja dan keluarga, serta meningkatkan kepuasan kerja dan produktiviti," katanya dalam satu wawancara bertulis hari ini.

Antara aspek yang perlu diperjelaskan melalui kajian lanjut adalah keperluan sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu, serta implikasi perundangan yang terlibat.

Menurutnya selari dengan inisiatif kerajaan untuk menimbangkan pelaksanaan BDR sebagai suatu normal baharu, penilaian juga akan dilaksanakan ke atas beberapa kemudahan awam lain yang berkaitan terutamanya kemudahan-kemudahan cuti dan pelepasan.

Katanya semua inisiatif berkenaan adalah usaha berterusan bagi memastikan penjawat awam dapat terus meningkatkan produktiviti mereka dalam konteks perubahan-perubahan faktor luaran yang terkini.

Mohd Zuki berkata pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan perkhidmatan awam boleh berfungsi dengan berkesan walaupun dengan pelaksanaan BDR dan BDR secara fleksibel.

Jadi, bersediakah kita?