DALAM hidup ini untuk mencapai kejayaan bukan mudah ya. Selain menetapkan fokus dan berusaha, kita juga perlu berkorban dari segi masa, tenaga dan kewangan.
Pendek kata tiada jalan singkat. Begitu juga perjalanan untuk kelihatan cantik dan kurus persis model. Gara-gara ingin mendapatkan hasil segera sesetengah wanita tegar memilih laluan 'bahaya'.
Mungkin memikirkan pengambilan makanan seimbang, bersenam atau gaya hidup sihat itu melecehkan, maka solusi terbaik adalah dengan membeli produk yang diragui bahan-bahannya.
Wanita yang sedang berusaha menurunkan berat badan misalnya, lebih cenderung membeli korset dan seluar fit yang didakwa membantu membakar lemak dengan cepat.
Hasilnya lebih memukau jika item terbabit dipakai setiap hari secara konsisten.
Keghairahan wanita membeli produk berkenaan semakin memuncak apabila membaca satu-persatu testimoni yang sengaja direka bagi melariskan produk.
Ini disusuli pula sikap peniaga cuba menambah 'perasa' dengan mendakwa produk kesihatan itu mendapat perakuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menggunakan teknologi canggih dari luar negara kononnya.
[caption id="attachment_15113" width="1024"] DARIPADA menyiksa diri memakai korset yang boleh menjejaskan organ dalaman adalah lebih baik menurunkan berat badan secara sihat dan mengikut arahan doktor.[/caption]
Walhal, tanpa disedari pemakaian korset atau bengkung boleh menjejaskan kondisi badan yang mana tulang rusuk dihimpit dan kapasiti paru-paru berkurangan antara 30 hingga 60 peratus.
Pada masa sama, sistem penghadaman juga akan terhimpit lalu menyebabkan asid perut naik ke esofagus dan mencetuskan GERD. Bayangkan, jika terlalu ketat saluran darah ke organ penting juga akan terganggu.
Lebih membimbangkan, bukan sahaja korset, bahkan kaum Hawa juga mudah terpengaruh membeli rangkaian produk timbang kilo.
Alasan klise, krim kecantikan berkenaan dijual pada harga murah, tetapi memberikan hasil yang sama seperti jenama antarabangsa. Kulit lebih putih dan berseri.
Korang perlu ingat, produk berjenama harganya mahal kerana ia telah melalui proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), sementelah krim wajah timbang kilo pula sebaliknya.
Justeru, sanggupkah kita berterusan merosakkan kulit wajah semata-mata ingin berjimat dan hanya terpedaya dengan testimoni yang mungkin sia-sia. Berhentilah!.
Antara produk scam kesihatan dan kecantikan 2020 yang perlu dijauhi:
1. Korset atau bengkung
2. Krim pemutih timbang kilo
3. Produk kopi dan teh overclaim
4. Selimut kesihatan
5. Tilam berubat
6. Vitamin menyembuh kanser
Sumber: @publichealthmalaysia