PADA bulan ini, ramai antara kita galak bercerita tentang durian. Para peniaga dilihat bersaing hebat demi meraih perhatian pelanggan untuk singgah makan raja buah itu di premis mereka.
Taktik biasa yang digunakan adalah menjualnya pada harga yang murah. Pun demikian, berhati-hatilah, jangan sampai terjerat dengan peniaga yang tamak.
Kepada mereka yang berhasrat merasai suasana menikmati durian di dusun dengan pemandangan yang mendamaikan, terdapat beberapa opsyen yang menanti.
Pun demikian, SinarPlus ingin mengesyorkan pembaca supaya singgah ke Dusun Durian D24 Azlan Gopeng yang terletak di jalan utama Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng, Perak.
Dari Kuala Lumpur, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira dua jam setengah.
Berkeluasan 1.2 hektar, dusun berkenaan diusahakan oleh Muhammad Fatil Firdaus Jaafar, 30, bersama tiga adik-beradik yang lain.
Ketika dihubungi, Muhammad Fatil berkata, dusun mereka memiliki isi buah gred D24 berkualiti yang sememangnya didambakan oleh peminat durian.
Selain D24, terdapat banyak pilihan durian lain seperti D99, MDURR88 (D190), D88, durian kahwin, musang king dan duri hitam.
"Alhamdulillah, setiap kali musim durian, dusun yang kami usahakan sejak enam tahun itu sering tular dalam media sosial kerana pelbagai jenis durian disediakan yang dijual pada harga yang berbaloi. Selain itu, terdapat juga buah lain seperti duku, langsat, pulasan dan manggis.
"Dulu kami jual di tepi jalan tapi tak ramai pun yang beli. Memikirkan idea unik untuk tarik pelanggan, kami buat jualan dan makan-makan di dalam dusun bermula jam 10 pagi hingga 6 petang," katanya baru-baru ini.
Cari buah waktu malam
Sebagai tambah nilai, beliau berkata, pihaknya turut membuka dusun kepada peminat raja buah itu pada waktu malam.
"Selain itu, atas permintaan ramai terutama pelanggan dari Kuala Lumpur, kami tawarkan pengalaman mencari buah pada waktu malam. Memang menarik, kepada yang mahu cuba, pihak kami sangat mengalu-alukannya," katanya.
Berkenaan dengan harga, durian kampung dijual pada harga RM6 sekilogram sementara D24 (RM26 hingga RM28 sekilogram).
"Kami juga merancang untuk mempelbagaikan lagi hasil jualan durian termasuk anak pokok durian lengkap dengan tapak semaian, tempat penginapan dalam dusun dan kawasan berkelah.
"Lokasi dusun kami memang strategik kerana terletak dekat dengan Sungai Jahang yang menjadi lokasi trek berbasikal bukit, pacuan empat roda dan beberapa sukan ektsrem yang lain. Biasanya, selepas beraktiviti lasak, ramai akan ambil peluang makan durian dahulu sebelum pulang ke destinasi masing-masing," katanya.