DUA guru silat hanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mempelajari teknik pembuatan tanjak yang berkualiti dan kini kedua-dua mereka sudah tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang diterima daripada pelanggan.
Nor Heryhelmi Saibon, 40, berkata, dia bersama rakannya Mohd Nahar Faizal Yahya Arif, 34, mengajar seni silat di beberapa buah sekolah di tiga daerah di negeri ini dan mengambil peluang mempelajari teknik membuat tanjak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.
"Kami mengajar silat di sekolah di Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar, tapi masa PKP kami tidak dapat mengajar dan perlu mencari pendapatan baharu, jadi dengan masa yang terluang timbul idea untuk belajar cara buat tanjak dan menjualnya,” katanya.
Menurut Nor Heryhelmi, dia mempelajari teknik pembuatan tanjak daripada ibunya yang memiliki kemahiran menghasilkan tanjak jenis ‘Dendam Tak Sudah’ selain turut mendapatkan pandangan daripada kenalannya yang juga seorang guru silat.
Katanya, dia dan Mohd Nahar Faizal turut menonton video di YouTube untuk mempelajari pelbagai teknik yang digunakan pembuat tanjak lain bagi mendalami kemahiran mereka.
"Dengan melihat di Youtube, kami cuba menghasilkan tanjak dengan kain songket atau kain hitam sehingga ia menjadi,” katanya yang turut berharap busana kepala yang menjadi warisan Melayu itu tidak hilang ditelan zaman.
Menurut Nor Heryhelmi, sejak Mac lalu sebanyak 30 unit tanjak yang ditempah pelanggan telah disiapkan dan kini 50 lagi tempahan diterima daripada pelanggannya yang mahu menggayakan hiasan itu sempena Hari Raya Aidiladha dan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
"Dalam sehari kami dapat siapkan tiga unit dan dijual antara RM55 hingga RM85 seunit mengikut jenis kain, sama ada songket atau kain batik bercorak, tanjak untuk kanak-kanak dan bayi juga kami buat jika ada permintaan,” katanya.
Nor Heryhelmi berkata, antara jenis tanjak yang dihasilkannya termasuk Adie Guru, Balong Raja, Dang Selembu, Nakhoda Trong, Dendam Layar, Bahtera Hitam, Sisir Panglima, Pancung Tak Bertanya, Helang Menyongsong Angin, Helang Menyongsong Langit, Naga Sari dan Ayam Patah Kepak.
-- BERNAMA