Selamatkah anak-anak menaiki bas sekolah ketika musim Covid-19?

Iklan
Selamatkah anak-anak menaiki bas sekolah ketika musim Covid-19?

SEMALAM, anak-anak tahun satu hingga empat memulakan sesi persekolahan setelah sekolah ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Bagi para ibu bapa yang berdepan dengan kekangan untuk menghantar atau mengambil anak mereka dari sekolah pula pastinya servis pengangkutan seperti bas atau van sekolah adalah satu-satunya pilihan yang mereka ada.

Iklan
Iklan

Namun, isu kesesakan dan ketiadaan jarakan sosial dalam bas sekolah menjadi kebimbangan ibu bapa yang khuatir dengan risiko jangkitan Covid-19 kepada anak-anak yang masih kecil itu, apatah lagi dengan peningkatan semula kes tersebut dalam negara.

Iklan

Memetik laporan media akhbar tempatan, bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Kementerian Kesihatan (KKM) sewajarnya menyemak kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi pengusaha bas untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak mereka terjaga secara optimum.

Iklan

Beliau berkata, adalah penting untuk bilangan kapasiti murid dan penjarakan sosial di dalam bas sekolah difikirkan semula bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bas termasuklah ketika naik dan turun dari kenderaan tersebut, sekali gus mengelakkan kemunculan kluster baharu.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya berasa risau untuk membiarkan anak mereka menaiki bas sekolah kerana setiap pengusaha maklum dan perlu mematuhi semua SOP yang telah digariskan oleh KKM.

Beliau menambah sambutan kepada penggunaan bas sekolah ketika ini amat kurang, sama ada disebabkan terdapat ibu bapa yang enggan membayar penuh yuran bas sekolah kerana hanya menggunakan perkhidmatan untuk beberapa hari sahaja pada bulan ini, atau mungkin anak tidak bersekolah, atau mungkin ibu bapa yang sendiri menghantar anak mereka.

Bagi Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat pula, ibu bapa sendiri bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka benar-benar sihat sebelum menaiki bas sekolah dan tidak bergejala seperti demam, selesema dan batuk.

Beliau berkata, pemandu juga akan sentiasa mengingatkan pelajar untuk tidak ada sentuhan antara satu sama lain atau bergurau senda dan sentiasa duduk, selain sentiasa memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van.

Sementara itu, dalam SOP yang dikeluarkan KKM, pemandu juga perlu menjalani saringan gejala sebelum memulakan tugas, selain memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa bertugas, memastikan dan mengarahkan murid sentiasa duduk dan memakai penutup mulut dan hidung semasa di dalam bas atau van dan tidak diwajibkan untuk menyaring murid semasa naik atau turun kerana beberapa kekangan serta saringan telah dibuat oleh pihak sekolah.

BERNAMA