DUNIA kini dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang mana setakat ini, lebih 196,000 kes dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 7,800 kematian akibat virus tersebut.
Angka itu pastinya merisaukan orang ramai terutama bagi mereka yang memiliki sistem daya tahan tubuh yang rendah.
Macam mana nak tingkatkan daya tahan tubuh? Jangan risau, tenang dan rilek! Sinar Plus kongsikan 6 langkah mudah yang mampu membantu tingkatkan daya tahan tubuh badan anda.
1. Jaga pemakanan - elak makanan mentah
Pemakanan adalah peranan atau kunci utama dalam sistem daya tahan tubuh. Elakkan mengambil makanan yang tidak dimasak atau mentah seperti daging mentah, telur mentah dan sayur mentah.
Sebaiknya masak atau rebus terlebih dahulu untuk mematikan bakteria dan kuman yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.
Daging mentah atau daging separa masak seperti sushi yang ada ikan/sotong/udang pun tak boleh ye!
2. Jus buah-buahan
Jus buah-buahan penting dalam menjaga sistem ketahanan badan, selain mencegah selesema.
Jus sangat banyak manfaatnya untuk kesihatan kulit. Ia memberikan kesan pembersihan pada seluruh tubuh. Ini kerana jus buah-buahan kaya dengan vitamin C.
Jus juga mampu menurunkan kandungan kolestrol dalam badan selain dapat menghilangkan bau mulut dan menurunkan suhu badan.
Tak nak mulut berbau minum la jus banyak-banyak!
3. Bersukan dan bersenam
Ambillah 10 minit sehari sebanyak 3 kali seminggu. Tambah kekerapan apabila anda rasa dah ok pada tahap itu. Bersenam dapat meningkatkan stamina apabila dapat mengeluarkan peluh.
Berpeluh adalah cara menjaga tubuh. Ia berfungsi mengeluarkan pelbagai racun dari dalam tubuh melalui pori-pori.
Dalam hal ini, olahraga atau berjalan kaki dikategorikan antara aktiviti mampu merangsang tubuh mengeluarkan keringat. Jadi, jangan malas untuk bersenam!
4. Tidur dan rehat yang cukup
Tidur yang cukup penting untuk memastikan tahap perkembangan yang baik. Secara purata, kita menggunakan satu pertiga daripada hidup untuk tidur.
Tidur mungkin kelihatan seperti satu aktiviti yang mana tubuh badan sedang berehat tanpa melakukan apa-apa, tetapi sebenarnya, ketika tidur, tubuh badan kita sedang bekerja keras.
Tidur malam yang mencukupi membuatkan kita berasa lebih segar. Apabila mendapat tidur yang mencukupi, kita akan bangun dengan rasa lebih segar, lebih peka dan lebih gembira.
Jangan pula terlebih tidur sampai ada yang tertidur di dalam kelas atau ketika waktu pejabat. Itu mengundang padah namanya!
5. Pengambilan suplemen dan vitamin C
Vitamin C penting untuk pelbagai fungsi fisiologi seperti pembentukan kolagen dan sejenis protein yang memberikan struktur kepada tulang, rawan, otot dan saluran darah.
Tubuh badan kita memerlukan vitamin C setiap hari sebab badan tidak boleh menyimpan vitamin C yang mudah larut air.
Vitamin C juga dapat membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
6. Jangan Stres
Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu mood, mengurangkan tumpuan dan juga boleh memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh kita.
Sumber kekacang seperti badam, pistachio dan kacang walnut yang kaya dengan Vitamin B2, Vitamin E, magnesium dan zink membantu dalam sekresi serotonin iaitu hormon yang memberikan rasa kegembiraan.
Kalau stres yang terlampau di tempat kerja tu boleh la cuba makan kacang!