ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB
SOALAN 1: SEMUA orang ingin kurus dan kelihatan cantik sehinggakan ada yang tersilap langkah membeli produk yang meragukan. Antara yang terperangkap adalah sahabat handai saya dan keluarga terdekat. Persoalan saya, adakah selamat membeli ubat kurus melalui internet. Bagaimana cara ingin mengetahui ubat itu selamat digunakan atau sebaliknya?
INSAN BUNTU, Zaireen Mokhtar, 39, dari Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
TERIMA kasih di atas persoalan yang diajukan itu. Puan, saya tidak menafikan ramai dalam kalangan kita yang teruja untuk kurus kerana kata mereka ‘lagi cepat kurus, lagi bagus’.
Pada kebiasaannya, orang ramai akan tertumpu kepada tarikan iklan sebegitu ditambah memberi kata-kata harapan seperti ‘kurus dalam masa tujuh hari tanpa perlu senaman’.
Puan, hasil analisis makmal telah mendedahkan, produk-produk yang diiklankan dengan tuntutan berlebihan seperti kurus dalam masa singkat ini sebenarnya mengandungi sibutramine dan analognya.
[caption id="attachment_16031" width="1024"] IMBAS kod QR ini untuk video.[/caption]
Menjelaskan keadaan sebenar, sibutramine sebelum ini didaftarkan dan digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai rawatan tambahan selain daripada diet yang betul untuk pesakit yang mengalami obesiti.
Namun begitu, satu kajian iaitu Sibutraminhe Cardiovaskular Outcome Study telah dijalankan ke atas pesakit-pesakit yang terlibat dalam kajian ini dan hasilnya menunjukkan sibutramine boleh memberi peningkatan kepada risiko penyakit jantung seperti serangan jantung dan strok kepada pesakit.
Antara kesan lain adalah degupan jantung akan bergerak sangat laju dan berlaku peningkatan tekanan darah tinggi.
Oleh itu, bermula pada tahun 2010 dan mengambil kira kajian tersebut, kebanyakan negara termasuk Malaysia telah menarik balik sibutramine daripada semua titik jualan di pasaran bagi melindungi kesihatan orang awam.
Bagaimanapun, sehingga kini, hasil perisikan dan operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, masih banyak produk yang dicampur sibutramine.
Oleh sebab itu, nasihat saya, janganlah terlalu mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kurus yang disebarkan menerusi pelbagai platform.
Soalan 2: RATA-RATA penjual dalam talian bersungguh-sungguh mengatakan ubat yang dijual oleh mereka mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya ingin bertanya, bagaimanakah cara terbaik ingin mengesahkan perkara tersebut?
INGIN TAHU, Rozita Ramli, 37, dari Kajang, Selangor.
JAWAPAN:
PUAN, sebenarnya kelulusan KKM bukanlah satu pernyataan yang wajib dipaparkan oleh penjual atau pengiklan ubat.
Perlu diketahui bahawa mana-mana penjual atau pengiklan ubat yang arif dengan undang-undang terutamanya Akta Ubat Iklan dan Penjualan 1956, biasanya mereka tidak akan meletakkan pernyataan kelulusan KKM berkenaan.
Apa yang menjadi keutamaan kepada penjual atau pengiklan ubat adalah memastikan bahawa ubat yang diiklankan adalah ubat yang berdaftar dengan KKM dan iklan yang disiarkan mestilah tidak membuat dakwaan perubatan yang berlebihan.
[caption id="attachment_16032" width="1024"] IMBAS kod QR ini untuk video.[/caption]
Puan, untuk mengetahui sama ada ubat tersebut selamat mahupun sebaliknya, puan boleh menyemak status pendaftaran ubat tersebut dengan melayari www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Products Status. Ubat yang berdaftar mestilah mempunyai nombor pendaftaran bermula dengan nombor MAL diikuti dengan lapan digit dan akan berakhir dengan alfabet T, N, X dan A.
Sebagai contoh bagi ubat tradisional akan berakhir dengan huruf T di hujungnya, huruf N bagi suplemen, huruf X bagi ubat tanpa preskripsi dan huruf A untuk ubat yang terkawal atau ubat dengan preskripsi seperti ubat untuk darah tinggi, kencing manis dan kanser.
Bagi produk kosmetik, ia perlu dinotifikasikan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan diberikan nombor notifikasi bermula dengan NOT.
Dari segi iklan pula, pastikan iklan ubat mempunyai kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU). Setiap iklan yang diberikan kelulusan oleh LIU akan diberikan nombor kelulusan iklan, KKLIU.
Semakan kendiri dengan menyemak iklan tersebut sama ada telah mendapat kelulusan daripada LIU juga boleh dibuat menerusi portal www.pharmacy.gov.my dan kemudiannya memasukkan nombor kelulusan iklan atau nama ubat yang ditemui. Berikut antara tip bagi mengenal pasti iklan ubat yang tidak mempunyai kelulusan daripada LIU:
i) Tiada nombor siri kelulusan KKLIU.
ii) Mengandungi tuntutan perubatan penyakit kronik yang dilarang contohnya darah tinggi, kanser, kencing manis dan peningkatan fungsi seksual.
iii) Mengandungi perkataan superlatif atau keterlaluan seperti ‘mujarab‘, ‘dijamin berkesan‘ dan ‘ajaib‘.
iv) Menggunakan pelbagai testimoni yang meragukan.
v) Menggunakan visual profesional atau alatan perubatan dalam iklan seperti kot putih dan stetoskop yang melambangkan penggunaan produk tersebut adalah diuar-uarkan oleh doktor.
Berikut adalah tip yang boleh dijadikan panduan sebelum membuat sebarang pembelian ubat melalui dalam talian:
- Pastikan ubat yang hendak dibeli berdaftar dengan KKM dan menyemak nombor pendaftaran MAL serta mempunyai pelekat label hologram yang sah.
- Pastikan iklan mempunyai kelulusan daripada Lembaga Ilkan Ubat (LIU). Hanya iklan bagi ubat berdaftar akan diberikan kelulusan oleh LIU.
BERSAMA
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM, Siti Ainul Fadhilah Jamaludin.