Belai pokok setiap pagi terapi terbaik untuk minda, lupakan seketika masalah

Iklan
pokok

SABAN pagi, bangkit sahaja daripada lena Surianie Mohd Hanif akan menjengah pokok-pokok hijau yang menghiasi segenap sudut di dalam rumahnya.

Beliau akan meluangkan masa seketika meneliti satu per satu tumbuhan kesayangannya itu sebelum melakukan aktiviti lain.

Iklan
Iklan

Kadangkala hatinya pantas berbunga riang apabila mendapati daun-daun baharu mula tumbuh, manakala daun yang kuning, kering dan keguguran pantas dibersihkan.

"Sejujurnya, aktiviti harian saya bagaikan tak lengkap tanpa membelai pokok. Kehadirannya di dalam rumah bukan sahaja menyuntik ‘warna’ kehidupan buat kami sekeluarga, malah terapi diri yang cukup menenangkan.

Iklan

"Sukar untuk membayangkan betapa kosong dan suramnya kediaman saya tanpa pokok-pokok ini,” katanya ketika ditemui SinarPlus di kondominiumnya yang terletak Bukit Serdang, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Menyifatkan pokok adalah benda hidup yang tidak sepatutnya dibiarkan tanpa penjagaan rapi, bicara ibu kepada dua cahaya mata itu, kecintaan terhadap flora dan fauna telah disemai sejak di bangku sekolah rendah.

Iklan

Pada mulanya beliau sekadar membantu arwah ibu, Saadiah Mohd Yusuf menyiram pokok dan menyapu bunga kertas yang berguguran di laman rumah.

Lama-kelamaan minatnya bercambah, apatah lagi melihat pokok bunga kertas yang ditanam ibu merimbun cantik di hadapan rumah.

[caption id="attachment_16104" width="1024"] SURIANIE menyifatkan pokok hijau yang menghiasi segenap ruang  kediamannya menyuntik elemen segar dan membantu menenangkan minda.[/caption]

"Selepas meningkat dewasa dan menyewa bersendirian, saya menggunakan kesempatan itu menghias rumah dengan susun atur perabot dan dekorasi dinding minimalis. Bagi elakkan kelihatan hambar, saya hias dengan variasi pokok hijau.

"Minat ini berterusan sehingga mendirikan rumah tangga. Lebih mengujakan, suami sedikit pun tidak membantah termasuk anak lelaki saya berusia 13 tahun yang juga selesa apabila kamarnya dihiasi pokok hijau,”kata Surianie sambil jari-jemarinya memeriksa kelembapan tanah di dalam pasu pokok jenis Monstera Adansoni yang diletakkan di atas meja makan.

Selain itu, wanita berusia 42 tahun itu juga memilih seleksi pokok hijau yang menarik dan unik sifatnya.

Ruang televisyen

Menjengah ruang bersebelahan meja makan misalnya, Surianie menghias permukaan piano dengan meletakkan pokok kaktus bersaiz mini.

Pada panel dinding pula beliau sengaja mengantungkan sebatang kayu pokok yang menyerlahkan elemen alam.

Paling mencuri perhatian adalah inisiatif Surianie menyerikan keindahan perabot warna putih yang diletakkan di ruang televisyen.

Pokok-pokok hiasan hijau seperti Snake Plant, kaktus dan Philodendron yang ditanam di dalam pasu pelbagai bentuk dan warna tampak serasi melatari sudut tersebut. Di sisi kanan dan kiri perabot nuansa putih itu diapit dengan dua pintu kayu terpakai warna biru terang.

Artikel berkaitan7 tip agar pokok dalam rumah kekal hidup segar-bugar

Di laluan menuju ke ruang balkoni, pembeli peribadi itu bijak mengatur tumbuhan hijau daripada beberapa jenis pokok di atas sebuah bangku kayu rona coklat gelap.

Di hadapannya pula, terdapat sebuah rak besi yang menempatkan bermacam-macam eksperimentasi tanamannya. Konsep diterapkan tidak ubah seperti makmal sains.

"Hakikatnya tak susah untuk menjaga pokok hijau yang dihias di dalam rumah. Asalkan, kita rajin menjaga dan menyiramnya.

"Dalam pada itu, pastikan ia mendapat sinaran matahari yang mencukupi bagi membesar untuk terus hidup sekali gus bercambah dengan baik,” jelasnya.

Tambah beliau, selain cahaya matahari pokok juga boleh dirangsangkan dengan sinaran lampu mentol khas yang berfungsi untuk pertumbuhan daun.

"Bagaimanapun, pastikan mentol terbabit tidak diletakkan terlampau dekat dengan pokok bagi mengelakkan kondisinya terjejas,” saran Surianie yang turut berkongsi lima jenis pokok hijau hiasan ideal di dalam rumah.

Artikel berkaitanPokok ketapang ketot tak ada dahan ‘cik pon’ bertenggek pun jadi viral

Lima jenis pokok hijau hiasan di dalam rumah:

1 Money Plant

Antara pokok yang paling senang hidup di dalam mahupun di luar rumah.

2 Philodendron Hope Selloum

Pokok yang cantik diletakkan di sudut kerana daunnya akan membesar dan merimbun.

3 Snake Plant

Mudah dijaga kerana tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak dan tidak harus disiram selalu.

4 Monstera Adansonii

Pokok yang mempunyai daun jenis merimbun dan berlubang-lubang. Cantik dihias di atas meja.

5 Fiddle Fi

Memerlukan penjagaan rapi supaya daunnya makin bercambah. Cahaya matahari perlu konsisten. Paling penting jangan terlebih air.