NAMPAKNYA isu insiden serangan anjing berpemilik terhadap orang awam kini semakin menjadi-jadi.
Terbaharu dalam kejadian dipercayai awal pagi semalam, seorang wanita diserang anjing berpemilik di Taman Tanjung Minyak Perdana Melaka.
Menurut Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), kejadian bukan perkara ringan dan tidak boleh diambil mudah. Ia mampu mengancam nyawa, malah membunuh.
"Mangsa dan masyarakat di tempat kejadian perlu membantu agar dapat serah pemilik dan anjing terlibat untuk mendapat keadilan.
"Kerajaan cukup undang-undang untuk tangani insiden ini termasuk mengheret pemilik anjing ke mahkamah dan mendakwa pemilik yang cuai dan tidak berakal. Manakala anjing ganas yang membahayakan dan memudaratkan perlu ditangkap, dikurung dan ditangani secara selamat mengikut undang-undang.
"Mencintai haiwan tetapi menzalimi pihak lain - Ini bukanlah pencinta haiwan," kongsi Animal Malaysia di laman sosial rasminya, semalam.
https://www.facebook.com/633109216896282/posts/1322092754664588/
Terdahulu video lebih dua minit dikongsikan Animal Malaysia itu menunjukkan wanita terbabit terpaksa bergelut dengan serangan anjing sebelum dibantu penduduk berhampiran.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pasukan Tindakan Haiwan, Sharul Nizam Ab Rahim atau lebih dikenali sebagai Abang Kucing berkata, mangsa serangan anjing dan ketua penduduk di Taman Tanjung Minyak Perdana, Melaka diharap dapat membantu mencari pemilik anjing tersebut.
"Boleh hubungi saya di talian 0127413497 untuk uruskan hal serangan dan keadilan terhadap mangsa yang parah.
"Mangsa dipercayai seorang wanita dan dikatakan berusia lewat 20-an, mungkin kini sedang berada di hospital bagi mendapatkan rawatan kerana parah di anggota badan seperti di tangan dan kaki," katanya kepada SinarPlus hari ini.
Disebabkan pemilik dan kejadian anjing yang tidak beretika, ia dikhuatiri bakal memberi persepsi buruk terhadap keseluruhan anjing yang dikhuatiri ganas dan menyerang.
Abang Kucing berkata, ada prosedur yang perlu dilakukan selepas serangan anjing seperti dalam kejadian ini.
"Jika ada kecederaan parah pada mangsa, di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 289, prosedur nya anjing itu patut ditangkap dan menjalani ujian untuk memastikan ia bebas penyakit supaya tak ancam nyawa mangsa.
"Jika mangsa dan saksi tampil, InsyaAllah Pertubuhan boleh bantu," katanya lagi.
Doa SinarPlus, moga mangsa cepat sembuh dan mereka yang bersalah segera didakwa. -AG #JanganPutusAsaMalaysia