7 tip merawat jiwa yang kosong

Iklan
Untitled design (4)

PERNAH tak terdetik, kenapa hati rasa kosong? Macam tidak ada apa-apa perasaan. Kadang-kadang rasa tak tenang dan resah gelisah. Walaupun diri dikelilingi dengan kesenangan dan kemewahan, ia seperti tidak mengisi jiwa yang sedang berkecamuk dan gersang.

Iklan
Iklan

Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena, tetapi kita tak tahu kenapa. Bagaikan ada sesuatu yang hilang"something is missing" tetapi kita tak tahu apa yang hilang itu. Bila bercakap dengan orang sekalipun, otak ke tempat lain. Rasa tidak ada semangat dan rasa seolah-olah hidup dalam kegelapan.

Jadi, bagaimana cara untuk mengisi jiwa yang kosong? Ketahuilah setiap penyakit ada penawarnya. Jiwa yang kosong boleh diubati dengan pelbagai cara. Di bawah Ahyat sertakan beberapa tip untuk menjadikan jiwa dan hati kita dalam keadaan tenang dan tenteram.

1- Niat Kerana ALLAH

Iklan

Ikhlaskan hati kerana ALLAH dan lakukan segala perkerjaan adalah kerana ALLAH bukan kerana manusia. Dihina, dikutuk, dan diuji tidak merasa kecewa. Jiwa kosong menjelma kerana niat bukan kerana ALLAH. Di kala niat ingin dipuji, namun ditunggu tidak datang. Hasilnya diri terasa keseorangan. Sebenarnya kita diperhati ALLAH. Walau tidak dipandang manusia, ALLAH tetap bersama kita. Perasaan kita akan terasa tenteram dan tidak lemah dengan ujian kerana hati sudah tersemat dengan keikhlasan kerana ALLAH. Jadi, betulkan niat jangan dikotori. Hapuskan segala niat yang salah. Buat semata-mata kerana Tuhan.

2- Perbanyakkan Beristighfar

Iklan

Beristighfar itu kita memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T. Memohon segala kesilapan dan dosa dimaafkan oleh ALLAH S.W.T. Beristighfar perlu ada rasa dan bukan saja-saja dikata.

Mulut berbicara, hati mengakuinya dan perbuatan perlu meninggalkan dosa lalu. Bila diulang dan diulang. Pada masa dan ketikanya hati merasa tenang. Terasa bagai beban dikurangkan sedikit demi sedikit. Jiwa penuh dosa akan terhakis sedikit demi sedikit dengan alunan istighfar yang sebenar-benar pengharapan. Banyakkanlah beristighfar itulah penyelesaian yang terbaik yang tidak harus ditinggalkan untuk merawat jiwa. Jiwa kosong kepada jiwa yang suci. Baca perlahan-lahan untuk menghayati makna yang dilafazkan.

3- Tinggalkan Maksiat

Maksiat adalah racun kepada kehidupan. Sifat maksiat memang manis (bagi jiwa yang dalam kekosongan) tetapi manisnya hanya seketika. Walau manis, ia tetap berbahaya. Janganlah menjadikan maksiat sebagai penyelesai masalah kerana ia menambahkan lagi masalah. Arak misalnya, disangka ubat hilangkan stres tetapi ia menjadikan akal tidak menentu. Pelbagai lagi masalah yang bertandang kerana maksiat tersebut. Tinggalkan maksiat itu adalah  jalan yang paling baik. Percayalah maksiat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Nikmatnya singkat. Masalah pula meningkat.

4- Nuntut Ilmu Agama

Orang berilmu dan orang tidak berilmu bezanya jauh sekali. Orang berilmu tahu mana yang salah dan mana yang betul. Orang tidak berilmu pula menyangka semua yang dilakukan betul dan menganggap salah adalah betul dan betul pula dikatakan sebaliknya. Jiwa yang kosong dapat dirawat dengan menuntut ilmu agama. Pelajarilah daripada guru yang benar. Amalkan apa yang diketahui dan dipelajari. Insyaallah, ALLAH permudahkan segala urusan untuk memperbaiki jiwa kita.

5- Amalkan Bacaan al-Quran

Dalam kehidupan kita tidak lari daripada al-Quran. Al-Quran adalah panduan kehidupan. Memberi panduan ke arah kebenaran dan menghalang daripada melakukan kejahatan. Dalam al-Quran pelbagai kisah para Nabi terdahulu, kisah umat yang diazab Allah, peringatan, nasihat dan pelbagai pengisian rohani yang baik untuk jiwa yang kosong. Membaca sahaja tidak memadai, kita perlu fahami isi yang ingin disampaikan dan amalkan suruhan ALLAH yang tercatat di dalamnya. Insyaallah, jiwa tidak kosong malah jiwa terasa tenang sekiranya kita sentiasa membaca al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai ubat motivasi.

6- Beristiqamah Dalam Melakukan Kebaikan

Beristiqamahlah melakukan kebaikan walaupun sedikit. Apa itu istiqamah? Istiqamah itu maknanya dilakukan secara berterusan. Amalan baik walaupun kecil dilakukan berterusan lebih ALLAH sukai daripada amalan baik yang dilakukan banyak namun tidak konsisten. ALLAH tidak memandang kuantiti tetapi kualiti. Setiap kita boleh sahaja memilih amalan apa yang sesuai dan mampu kita lakukan. Contoh, berzikir 100 kali setiap hari. Ada yang membaca al-Quran setiap selepas solat Maghrib.Apa yang penting istiqamah. Insyaallah, amal kebaikan yang dilakukan akan memberi kesan pada jiwa. Dan jiwa tidak akan terasa kosong lagi.

7- Berdoa Kepada ALLAH

Berdoa kepada ALLAH agar diberi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Kita perlu minta kepada ALLAH dengan bersabar dan penuh kekhusyukan.Kita sebagai hamba pasti ada masa jatuh dan masa bangunnya. Jadi berdoalah memohon pertolongan kepadaNya. Allah sentiasa menanti doa kita. Hanya kita yang melupakanNya. Pada jiwa yang kosong, rawatlah dengan memohon doa. Bermunajat dan berdoa dengan setulus hati. Kebahagiaan pasti akan menghampiri. Terasa nikmatnya doa pada Ilahi.

Kesimpulannya, jiwa yang bahagia adalah jiwa yang dekat dengan ALLAH s.w.t. Jiwa juga perlukan makanan dari kita. Makanannya sudah disebut di atas. Ahyat harap semoga tip di atas dapat memberikan penyelesaian dan merawat jiwa yang kosong. Beramallah sepanjang kehidupan, nescaya ia tidak akan rugi walau sedikit pun.

Sumber:

1. tzkrh.com/7-tips-merawat-jiwa-yang-kosong/

2. therohani.com/kenapa-hati-rasa-kosong-sunyi/

3.www.addeen.my/index.php/rohani/ibadah/item/1044-mengubat-jiwa-kosong

4.mpw2043syariahkias.blogspot.com/2017/02/cara-mengubat-jiwa-yang-kosong.html

Kredit: Ahyat Ishak