Bersama Model dan Instafamous, Jaja Talib
SOALAN
BAGAIMANA cara memastikan solekan wajah tahan lama supaya sentiasa tampak cantik apabila bergambar #OOTD (outfit of the day) terutamanya ketika berada di bawah terik matahari?
- IZZATI AFIQAH MUHAMMAD, 33, SETIAWANGSA, KUALA LUMPUR
JAWAPAN
NASIHAT untuk para wanita semua, usah bergantung pada solekan semata-mata bagi menampakkan wajah kelihatan berseri dan menawan sehingga mengabaikan rutin penjagaan yang sepatutnya.
Jika permukaan kulit wajah dibiarkan polos tanpa sebarang olesan krim pelembap, serum dan krim sinaran ultraungu, bimbang ia akan mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari.
Efeknya, solekan yang diaplikasi bukan sahaja tidak kekal lama tatkala berada di bawah cahaya matahari, bahkan kulit wajah akan kering dan mengundang masalah bintik hitam.
Berikutan itu, sebelum mengenakan sebarang mekap sama ada krim asas, pemerah pipi ataupun penyamar noda, pastikan kulit wajah sudah sempurna dengan proses prep (persediaan).
Mula-mula, sapukan serum, krim pelembap dan primer yang bersesuaian dengan jenis kulit pada permukaan wajah. Langkah tersebut harus dititikberatkan kerana ia bertindak mengekalkan kelembapan kulit dan ‘mengunci‘ solekan yang diaplikasikan kelak.
Bagi wanita yang cepat berpeluh pula, disarankan supaya tidak menggunakan primer dalam kuantiti banyak kerana akan menyebabkan kulit lebih berminyak.
Sementara itu, ketika melakukan prep, sapu set penjagaan dengan lembut sambil jari-jemari mengurut sekitar permukaan wajah supaya ia meresap dengan baik. Ia termasuklah, mengelakkan solekan kelihatan bercapuk-capuk.
Usai proses berkenaan, barulah sapu krim asas menggunakan span, penyamar noda di sekitar bawah mata dan batang hidung.
Selepas itu, hiasi kelopak mata dengan pembayang mata mengikut kesesuaian baik warna baju mahupun tudung. Kemudian, disusuli pula sapuan maskara di helaian bulu mata dan pemerah pipi.
Untuk proses yang terakhir, sempurnakan solekan wajah dengan calitan gincu bibir yang tampak serasi bersama pembayang mata dan busana pilihan.
Sekiranya, semua langkah itu dilakukan dengan baik secara satu per satu, anda bukan sahaja memiliki kulit wajah sihat, malah solekan kekal lama biarpun berada di luar rumah dalam tempoh lama.