SELEPAS beberapa hari dilaporkan kritikal akibat Covid-19, nenek kepada pelakon Daler Yusuf iaitu Muhammadiyeva Shodi, 76, meninggal dunia di sebuah hospital di Uzbekistan pada Jumaat.
Berita duka tersebut dikongsi pelakon drama Titian Kasih itu menerusi laman Instagramnya hari ini.
Menurut Daler atau nama penuhnya Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 28, selepas kematian ibu, arwah neneknya itu telah dianggap lebih daripada seorang ibunya kepadanya.
Tidak dapat menyembunyikan kesedihannya, pelakon asal Uzbekistan itu berkata setiap kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah berkat doa neneknya.
Terdahulu pada Rabu lalu, Daler telah berkongsi keadaan arwah neneknya yang kritikal dan sedang dirawat di sebuah hospital di Uzbekistan kerana mengalami jangkitam teruk pada paru-paru.
Pada ruangan komen, ramai peminat dan rakan selebriti yang merakamkan ucapan takziah buat Daler, selain memberikan kata-kata semangat buatnya agar terus tabah berdepan kehilangan itu.
(SUMBER/FOTO: Instagram Daler Yusuf)