Di sebalik hutan pun ada kafe menu istimewa? Ini 4 lokasi menarik buat kaki makan

Iklan
kafe hutan

MESKIPUN terperosok di dalam hutan kecil di Sepang, Selangor, Utan Cafe & Range popular dalam kalangan ‘pemburu makanan‘.

Bagi penulis, kafe itu mempunyai nilai tambah tersendiri kerana terletak di antara tiga padang golf yang dikelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman.

Iklan
Iklan

Bukan sahaja lokasinya cukup mendamaikan, malah lebih 50 menu masakan kampung disediakan, membuatkan sesiapa kecur air liur dan rambang mata.

Pilihlah apa sahaja. Daripada masak lemak cili api dan asam pedas yang terkenal, Utan Cafe and Range turut menawarkan menu lain seperti ayam kampung, daging dan itik salai, daging tetel, udang kara gergasi dan udang galah.

Iklan

Itu belum termasuk menu hebat lain seperti sup gear box kambing, kari kepala ikan jenahak, daging pinang masak kicap, tomyam, patin masak tempoyak, siakap masak stim dan sotong bakar chiangrai yang diberi jolokan sotong negro.

Iklan

Sesekali selepas mendapat gaji, mengapa tidak ‘belanja‘ diri sendiri atau insan tercinta untuk menikmati sajian paling rare di sana iaitu ketam raja Alaska dengan berat sehingga 1.4 kilogram dan dijual pada harga RM230 seekor!

Ya! Itulah menu paling mahal di Utan Cafe & Range, namun kata pengusahanya, Tajuddin Harun, 55, harga tersebut sebenarnya setanding dengan keenakan tidak terhingga makanan laut tersebut.

"Ketam raja Alaska memang paling dicari pelanggan. Ada yang meminta kami masakkan lauk lemak cili padi. Tidak kurang juga yang mahu masak ketam itu dengan butter cheese memandangkan air ketam berkenaan segar dan sedap. Pendek kata, ‘terangkatlah‘ kalau makan," katanya sambil tertawa kecil.

Bukan sahaja sajian masakan menjadi magnet tarikan, menu minuman di kafe itu juga lain daripada yang lain. Air unik

Antara yang menarik perhatian penulis ialah jus yang diberi nama Jus Minta Dimadukan dan Sodalah Kau Dalam Mimpiku Juga.

"Ya, namanya pelik bukan? Tetapi itulah yang paling banyak dapat permintaan. Satu lagi, mesti orang akan tertanya-tanya apa yang terkandung dalam jus itu?

"Jus itu merupakan air campuran aiskrim vanila dengan agar-agar berwarna hijau, ditaburi serbuk lemon dengan rasa masam-masam. Percayalah, sekali cuba pasti nak lagi," katanya optimis.

Sodalah Kau Dalam Mimpiku Juga yang digelar ‘air sampah‘ oleh pelanggan setianya pula berupa air campuran herba dengan air soda bersama buah laici, biji selasih, serai, cincau, daun pudina dan tembikai dipotong dadu.

"Air ini memang padu dan puas hati kalau minum walaupun pelanggan susah nak sebut dan nak ingat namanya," selorohnya.

Populariti Utan Cafe & Range yang dibuka sejak lima tahun lalu telah memberi ruang kepada Pak Din untuk membuka sebuah lagi cawangan kafe.

"Alhamdulillah dengan rezeki ini, kami berpeluang membuka sebuah lagi kafe di Bukit Puchong, Selangor dengan nama Chef Gemuk yang turut menyediakan menu bajet untuk komuniti setempat.

"Kami masih menyediakan menu yang sama, cuma ada tambahan baharu iaitu pakej bajet untuk pelanggan yang mahukan sajian lebih murah dan mampu milik,” katanya.

Menikmati juadah di sebalik hutan belukar pastinya menjanjikan pengalaman yang berbeza.

Seperti kata ramai orang, bunyi cengkerik dan hembusan angin daripada pepohon menghijau membuatkan makanan yang dijamah bertambah enak.

Selain Utan Cafe & Golf Range, SinarPlus menjengah tiga lagi kafe unik yang terletak dikelilingi flora dan fauna yang popular dalam kalangan pengunjung.

Warung Bonda Rumah Hutan

  • Alamat: Lot 1972, Jalan Lama Genting, Batang Kali, Selangor
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 7 malam
  • Sajian signatur: Ikan lunak bakar dan ikan tilapia bakar
  • Harga: RM1 hingga RM38 (harga ikan ikut timbang)
  • Facebook: Rumah Hutan Bonda Rozita
  • Instagram: @rumah.terapi.alam
  • Website: rumahhutan.com

Tanah Aina Fareena Café

  • Alamat: KM54.3 Lebuh Raya Karak, Lentang, Pahang
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 10 malam
  • Sajian signatur: Ikan tilapia tiga rasa dan udang masak butter
  • Harga: RM11 hingga RM90
  • Facebook: Tanah Aina
  • Instagram: @tanah_aina

Hutan Cafe

  • Alamat: Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Jalan Kelab Off Persiaran Semarak Api, Cyberjaya, Selangor
  • Waktu operasi: 9 pagi sehingga 10 malam (tutup setiap Isnin)
  • Sajian signatur: Shakshuka dan creamy buttermilk chicken
  • Harga: RM7 hingga RM35
  • Facebook: Hutan Cafe Cyberjaya
  • Instagram: @hutancafe.cyberjaya