"KITA semua adalah pemenang, tiada pengalah."
Kata-kata lucu yang terpacul daripada mulut bintang Akademi Fantasia (AF) 2003, Vince Chong sewaktu siaran langsung program realiti itu masih diingati sehingga sekarang.
Namun, bukan kerana ungkapan itu yang membuatkan dirinya popular tetapi bakat nyanyian yang dimiliki membuatkan artis berketurunan Tionghua itu sangat popular sekitar awal tahun 2000.
Pada pertandingan AF 2003 itu, Vince mencipta fenomena apabila berjaya menambat hati peminat dalam kalangan orang Melayu. Undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya pada setiap minggu dan pada peringkat final AF3 membuktikan kehebatan dirinya.
Beliau mencipta rekod tersendiri dengan menyapu bersih gelaran juara mingguan selain menjadi johan keseluruhan.
Selepas muncul dengan single pertama, Mengapa Harus Cinta?, bapa kepada dua cahaya mata itu mengorak langkah lebih jauh apabila bergandingan bersama Nikki Gil dan Alicia Pan untuk lagu tema High School Musical versi Asia.
Pun begitu, kelibatnya semakin kurang kelihatan sejak kebelakangan ini. Adakah faktor umurnya yang kini menginjak 41 tahun membuatkan dirinya menyepikan diri?
Pada Rabu lalu, penulis berpeluang bercakap dengannya melalui corong telefon.
Kata Vince, beliau masih aktif namun kini beralih bidang.
"Saya kini sedang sibuk menyiapkan projek produksi animasi digital. Barangkali ia lari jauh daripada dunia seni, tetapi saya mahu mencuba sesuatu yang baharu selari dengan perkembangan teknologi dan minat penonton cilik.
"Projek ini sudah bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Sebelum itu, saya sudah banyak membuat kajian mengenai projek kandungan digital.
"Jadi, saya gerakkan kerja itu di bawah syarikat naungan saya sendiri iaitu Vinner Voice Entertainment. Saya optimis dengan potensi projek ini," katanya yang menzahirkan komitmen untuk mencari pelabur yang berminat menjayakan produksi animasi yang sedang diusahakannya.
Selain itu, ujar anak kedua daripada enam beradik itu, kelas vokal yang dikendalikannya turut berjalan seperti biasa.
Bercerita tentang tempoh PKP itu, Vince berkata, apa yang berlaku telah membuatkan dirinya lebih menghargai kehidupannya terutama masa bersama dengan ahli keluarga.
"Jangan tak percaya, ketika PKP, saya dapat mengasah bakat dalam bidang pertukangan. Saya juga dapat siapkan meja berkelah untuk keluarga. Saya, isteri dan anak-anak membuat seni kraf bersama-sama," katanya.
Lagu baharu
Selain itu, Vince memberitahu, pada masa sama, beliau mewujudkan platform jualan dalam talian iaitu orders.my pada Ramadan lalu dan kini memiliki keahlian mencecah hampir 3,000 vendor.
Bakat yang dimiliki adakah mahu dikuburkan begitu sahaja?
Vince yang juga naib juara Talent Quest 2002, lantas menjawab bahawa dirinya bakal memperkenalkan satu single terbaharu dalam masa terdekat.
"Dalam bidang muzik, saya tak pernah mengalah. Saya sebenarnya sedang menyiapkan single terbaharu sebagai ‘jawapan‘ untuk lagu Mengapa Harus Cinta? yang kini berada pada fasa akhir. Untuk menyiapkan lagu ini makan masa juga demi menghasilkan sesuatu yang lebih wow dan memukau.
"Saya tak suka buat kerja cincai, lagi-lagi lagu sendiri sebab inilah ‘mahakarya‘ yang wajar dihargai. Jika tiada halangan, saya akan lancarkan lagu ini pada September nanti sempena bulan ulang tahun kelahiran saya," katanya.
PROFIL
- Nama: Vincent Chong Ying-Cern
- Nama komersial: Vince Chong
- Umur: 41 tahun
- Asal: Kuala Lumpur
- Tahap pendidikan:Diploma Pemasaran daripada Kolej Stamford Petaling Jaya
- Sijil Penyusunan Muzik Asas daripada International College of Music, Kuala Lumpur
- Pencapaian:Artis Bukan Melayu Terbaik Media Hiburan 2003
- Artis Harapan Pilihan Anugerah ERA 2004
- Artis Baru Paling Popular (Lelaki) ABP 2004
- Artis Bukan Melayu Terbaik ABP 2004
- Best New Artist AIM 12
- Artis Lelaki Baharu Terbaik APM 2005
- Pemenang tempat ketiga, Shanghai Asian Music Festival 2004
- Album:Vince (2004)
- Janji Vince (2005)
- Percayalah Sayang (2007)
- Kronologi Cinta (2010)
- Facebook: Vince Chong
- Instagram: @vincetogram