BUAT penggemar ‘kaki hiking’ mahupun ‘kaki camping’, kegiatan perkhemahan dan pendakian gunung yang melibatkan aktiviti bermalam sama ada dilakukan secara persendirian atau berkeluarga kini dihadkan kepada 50 peratus daripada jumlah kapasiti maksimum sesebuah tapak perkhemahan.
Memetik laporan portal media tempatan, Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, perkara itu antara langkah penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) terkini kepada pengunjung yang perlu dipatuhi sekiranya berkunjung ke Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Oleh itu, setiap pengunjung perlu membuat permohonan terlebih dahulu sekiranya mahu menjalankan aktiviti di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri melalui sistem permohonan dalam talian atau mendapatkan permit masuk terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri.
Mohd Yussainy berkata, bagi aktiviti rekreasi dinamik seperti ‘merentas hutan’ dan pendakian gunung pula, pendakian harus dilakukan dengan mengamalkan jarak tiga meter antara setiap pendaki selain mengekalkan nisbah lima pendaki bagi setiap seorang malim gunung.
Sementara itu, aktiviti sukan lasak seperti motorcross, ATV, basikal bukit, rock climbing, luncur layar serta aktiviti tali seperti menakik turun dan daki tembok yang sebelum ini dilarang juga telah dibenarkan.
Turut dibenarkan ialah majlis keramaian yang tidak melebihi 20 orang dalam satu kumpulan, sewaan perkhidmatan rumah bot dengan kapasiti tidak melebihi 50 peratus dan penganjuran kursus atau latihan teknikal jabatan, katanya.