Konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool, Persembahan maya 360 darjah

Iklan
DS SIti Nurhaliza

SELEPAS berdepan situasi ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan aktiviti seni, kemunculan album penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, ManifestaSiti2020 sedikit sebanyak merancakkan kembali industri seni tanahair.

Album yang mendapat maklum balas positif daripada pendengar muzik tempatan itu, bukan sahaja mendapat sambutan hangat di platform digital,  malah album fizikalnya juga laris terjual.

Iklan
Iklan

Sempena pelancaran album tersebut, Siti Nurhaliza turut menjayakan sebuah konsert interaktif dalam talian, Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool,  yang telah berlangsung pada 21 Julai 2020 yang lalu.

Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool merupakan hasil kolaborasi di antara Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions bersama stesen radio Hot FM dan Kool FM.

Iklan

Konsert yang menelan kos perbelanjaan hampir RM180,000.00 itu menggunakan aplikasi sidang video Zoom dan merupakan konsert interaktif dalam paparan 360 darjah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia sekaligus menjadikan Siti Nuhaliza sebagai artis pertama yang terlibat dalam konsert dalam talian berskala besar.

Iklan

Mengulas tentang matlamat dan pengalaman menjayakan konsert interaktif Manifestival Siti Nurhaliza X Hot Kool itu, Siti Nurhaliza berkata, konsert tersebut  merupakan kesinambungan daripada aktiviti promosi album ManifestaSITI2020.

"Ini merupakan pengalaman baharu saya kerana menjayakan sebuah konsert maya yang bersifat interaktif.

"Peminat bukan sekadar boleh menonton persembahan saya dari rumah masing-masing tetapi mereka juga berpeluang berinteraksi  dengan saya.

"Saya berasa sangat berpuas hati kerana dapat menghiburkan para peminat yang terpilih di layar Zoom dan ini mendekatkan kami walaupun Malaysia masih didalam PKPP.

Sementara itu, menurut Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, konsert tersebut hanya memberikan akses terhad kepada 500 peminat sahaja.

Mereka dipilih menerusi peraduan yang dijalankan oleh radio rasmi Hot FM dan Kool FM, rakan media Donna serta menerusi laman media sosial Siti Nurhaliza dan Universal Music Malaysia.

"Walaupun peraduan tersebut mendapat sambutan hangat peminat, tetapi disebabkan kekangan jumlah maksimum penonton yang dibenarkan oleh aplikasi Zoom, kami hanya boleh memilih 500 orang sahaja.

"Namun begitu, ianya masih dikira sebagai skala besar kerana kejayaan memaksimumkan jumlah penonton untuk konsert dalam talian seperti ini, boleh diumpamakan kita berjaya memenuhkan satu panggung,” jelasnya.

Bagi peminat yang ketinggalan menyaksikan konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool secara langsung baru-baru ini, boleh menyaksikan video rakaman konsert tersebut yang akan dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 12 Ogos ini, bermula jam 7 hingga 9 pagi.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)