BAGI pengguna komputer riba atau lebih dikenali sebagai laptop, jenama Toshiba bukan lagi asing bagi mereka. Walau banyak pesaing lain dalam pasaran, ketahahan laptop jenama tersebut membuatkan ia masih menjadi pilihan ramai.
Toshiba adalah syarikat komputer Jepun yang merupakan salah satu pengeluar laptop terkuat di dunia.
Malangnya, setelah hampir 35 tahun dalam pengeluaran produk laptop, Toshiba kini mengumumkan pengunduran diri mereka dan akhirnya terpaksa akur dengan situasi dunia perniagaan yang tidak menentu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Toshiba, jenama tersebut secara rasminya telah menjual 19.9 peratus saham terakhir mereka kepada Dynabook Inc iaitu perusahaan milik Sharp.
Ia adalah baki kepada saham terkecil mereka selepas menjual sebahagian besarnya kepada Sharp pada tahun 2018.
Sebelum ini, pada tahun 2018, Toshiba telah menjual 80.1 peratus saham perniagaan komputernya kepada Sharp pada nilai USD36 juta. Sejak hari itulah, Sharp telah menggantikan perniagaan ini menjadi Dynabook.
Dalam satu kenyataan rasmi, Toshiba mengatakan Sharp telah menggunakan haknya untuk saham terkecil mereka sejak Jun lalu.
Apa pun berita Toshiba ‘menarik diri’ dari dunia laptop sangat mengejutkan ramai pihak.
Ini kerana sepanjang tahun 1990 hingga 2000, Toshiba kerap menjadi salah satu vendor laptop yang sentiasa menjadi pilihan orang ramai kerana kualitinya terutama dalam kalangan pelajar universiti.
Malah Toshiba telah mengeluarkan komputer riba pertamanya iaitu siri T1100 pada tahun 1985 di Eropah denagn harga USD2000 dollar.
Siri T1100 adalah pendorong awal pertumbuhan industri komputer riba di era itu dengan sasaran jualan tahunan sebanyak 10,000 unit seperti dilaporkan oleh KompasTekno dari The Verge.
Menurut Computer World, meski banyak tawaran komputer riba lain di pasaran, Toshiba sering menjadi vendor paling popular yang menjadi pilihan pengguna.
Pada 2015, Toshiba mengumumkan kerugian dengan nilai USD318 juta dollar. Kerugian itu antara faktor utama mengapa Toshiba tidak mahu meneruskan perniagaan dalam bidang ini di pasaran Eropah pada tahun 2016.
Bahkan pada tahun 2017, Toshiba juga mengalami kerugian dengan hanya mampu menjual sebanyak 1.9 juta unit sahaja.
Selamat tinggal Toshiba!