Ini kisah di sebalik nama kuih gelembung buaya yang perlu tahu

Iklan

MENDENGAR nama kuih gelembung buaya pasti membuatkan ramai tertanya-tanya asal usul nama sajian itu.

Kepada anak jati Kelantan, Siti Zaleha Shaikh Omar, 37, beliau sudah terbiasa menjawab pertanyaan itu.

Iklan
Iklan

Seperti dapat mengagak persoalan yang bakal ditanya, wanita itu sudah mula tergelak.

"Ya, betul, barangkali ramai tertanya-tanya apa kaitannya nama haiwan pemangsa itu dengan kuih berasaskan isi kelapa muda itu berwarna hijau atau gabungan rona merah menyala?," katanya yang berjaya menelah soalan penulis seterusnya.

Iklan

Ujar pegawai Amanah Ikhtiar Malaysia, cawangan Kota Bharu, Kelantan itu, ketika beliau kecil kuih tersebut dipanggil ‘glebong boyo’.

"Ceritanya begini, nama asal kuih ini sebenarnya gelembung buih. Namun, ketika masak, kuih ini mengeluarkan gelembung seolah gelembung buaya yang sedang bernafas dalam air. Jadinya, nama 'glebong boyo' itu lekat sampai sekarang,” ceritanya kepada SinarPlus ketika dihubungi.

Iklan

Anak jati Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan itu menambah, kuih warisan Kelantan itu juga terkenal dengan rasa yang manis.

"Orang Kelantan sebut, ‘manis leting’, namun ada juga sesetengah pembikin kuih membuat kuih ini dengan rasa kurang manis. Sesetengah tempat, ada yang membuat kuih ini dengan air kelapa itu sekali gus.

"Namun secara keseluruhannya, apa yang saya boleh gambarkan, kuih ini rasa lemak manis dengan isi kelapa muda kenyal dan memang sedap. Sekali makan memang akan ketagih untuk makan lagi.

Di Kelantan, lokasi popular yang menjual kuih gelembung buaya ialah di Tumpat, Kampung Laut dan Palekbang.

Stok terhad

Ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu, tempoh pembuatan kuih gelembung buaya persis dodol itu mengambil masa yang lama iaitu lebih lapan jam.

Jelas Siti Zaleha, untuk memastikan ketahanan sajian itu (bertahan lebih kurang dua minggu) perlu dimasak sehingga adunan kering.

Artikel berkaitan: Gadis cantik ini kongsi cara mudah buat kuih telaga emas dua negeri              

Bahan-bahan asas kuih berkenaan ialah isi kelapa muda, tepung beras dan gula pasir.

"Sebenarnya dua lapisan berwarna hijau dan merah itu daripada adunan yang sama, selepas adunan masak dan kering barulah dibahagi dua bahagian sebelum digaul dengan pewarna tersebut.

"Apabila warna sebati, barulah adunan dimampatkan dan dipotong mengikut saiz. Kemudian potongan tersebut disusun secara berlapis,” ujarnya.

Kata wanita itu, selalunya jika di Kelantan, kuih tradisional itu akan digandingkan dengan dodol yang mempunyai tiga perisa iaitu durian, pandan dan gula kelapa yang dibungkus secara kecil.

"Barangkali disebabkan cara pembuatan seakan-akan sama, jadi kuih popular itu dijual bersama dodol. Namun, stok kuih gelembung buaya ini terhad kerana stok kelapa muda agak terhad," katanya.

RESIPI KUIH GELEMBUNG BUAYA

Bahan-bahan

  • 1 kilogram isi kelapa muda (diparut isi putih sahaja)
  • 120 gram tepung beras (dibancuh dengan air mengikut sukatan enam sudu besar)
  • 480 gram gula pasir
  • 2 sudu kecil ekstrak pandan
  • Sedikit pewarna merah dan hijau

Cara-cara:

  1. Masukkan isi kelapa parut dan gula pasir ke dalam kuali.
  2. Kacau sebati kedua aduan kemudian dimasukkan bancuhan tepung beras.
  3. Masak dengan api sederhana sehingga adunan agak kering.
  4. Apabila adunan sudah kering, bahagikan kepada dua.
  5. Satu bekas dimasukkan ekstrak pandan dan pewarna hijau manakala satu bekas lagi dimasukkan pewarna merah.
  6. Masukkan adunan hijau ke dalam loyang dan tekan sehingga padat dan rata.
  7. Kemudian masukkan adunan berwarna merah di atas lapisan hijau dan biarkan sejuk.
  8. Boleh dihidangkan dan dipotong mengikut saiz yang disukai.