SUDAH empat bulan berlalu, kisah si kembar yang pernah meruntun jiwa rakyat Malaysia apabila tidak sempat menatap wajah ibu tersayang ini masih segar di ingatan.
Baru-baru ini, sempat tular mengenai perkembangan terkini bayi kembar perempuan itu apabila bapanya, Syazwan Najmi Zulkarni, 23, memuatkan naik gambar terkini mereka.
Gambar Medina Safiya dan Medina Sofiya yang semakin montel dan comel itu dikongsikan bapanya dalam akaun Instagram, menyentuh hati warganet.
Rata-rata warganet yang mengikuti perkembangan bapa muda itu turut menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan si kembar supaya menjadi anak yang solehah.
Tidak ketinggalan juga, Syazwan Najmi turut memohon sokongan pengikut dan semua warganet terhadap bisnes tudung dengan jenama MedinaScarf yang akan muncul tidak lama lagi.
Sebelum ini, warganet turut bersedih apabila Siti Nur Nasuha Shafie, 23, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri sebaik sahaja melahirkan bayi kembar perempuan mereka.
Allahyarhamah Siti Nur Nasuha menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu akibat komplikasi dalaman.
Usia perkahwinan yang baharu sahaja 10 bulan itu ternyata meninggalkan kenangan manis buat pasangan muda itu termasuk ‘hadiah’ cahaya mata yang bukannya satu tetapi dua bayi yang comel.
Doakan baik-baik untuk mereka ya? #janganputusasamalaysia