BAGI peminat sukan bola keranjang, nama Michael Jordan pastinya cukup dikenali malah turut disegani oleh pasukan lawan.
Beliau merupakan salah seorang bintang sukan legenda dunia bola keranjang yang cukup dikenali dengan teknik jaringan ‘skyhook’ yang cukup hebat.
Memiliki ketinggian 198 cm cukup untuk dia mencipta nama ketika mewakili kelab Chicago Bulls hingga dilaporkan bersara dalam dunia sukan bola keranjang sekitar tahun 1998.
Setelah bersara, populariti Michael Jordan tidak luntur malah mempunyai lebih ramai pengikut. Dia kemudian menceburi bidang peniagaan dan berjaya.
Meskipun sudah lebih 20 tahun bersara daripada sukan bola keranjang, Michael Jordan tetap mendapat tempat di hati para peminatnya.
Sejumlah barangan yang pernah diguna pakai oleh Michael Jordan juga mempunyai nilai tinggi apabila dijual secara lelong.
Buktinya, baru-baru ini salah satu sneakers Air Jordan telah berjaya dilelong oleh rumah lelong Christie's. Michael Jordan pernah memakai sneakers berwarna merah putih ini dalam satu pertandingan persahabatan di Itali sekitar tahun 1985.
Menurut media DW, bekas bintang Chicago Bulls itu memasukkan bola ke keranjang begitu kuat sehingga papan gelung keranjang yang dibuat daripada kaca pecah.
Pecahan kaca yang pecah itu pula didakwa melekat pada tapak kasutnya.
"Ini kasut asli dengan pecahan kaca yang ada di tapaknya," kata Caitlin Donovan yang mengetuai bahagian penjualan sneakers dan beg Christie's. Dengan kasut berukuran 13.5 itu, Michael Jordan berjaya memperoleh 30 mata.
Namun kini sneakers yang telah usang itu berjaya terjual pada harga yang cukup hebat iaitu AS$615,000 atau kira-kira RM2.5 juta.
Harga itu mengatasi rekod nilai sneakers Air Jordan yang dilelong rumah lelong Sotheby's pada Mei 2020 lalu, yang terjual pada harga AS$560,000 atau kira-kira RM2.3 juta sahaja.
Menurut CNN, uniknya sneakers Michael Jordan ialah ukuran kakinya berbeza. Bagi kaki kiri berukuran 13 sementara sebelah kanan berukuran 13.5.