SUATU masa dulu, Amrinee Ghazi, 39, atau lebih dikenali sebagai Irene Ghazi pernah bergelumang dalam dunia glamor. Biarpun bukanlah bergelar selebriti, namun raut wajahnya sentiasa menjadi perhatian lensa kamera pada masa itu. Namanya begitu gah di pentas peragaan sebagai seorang model.
Menjadi bonus kepada dirinya apabila beliau pernah menjadi finalis Dewi Remaja 1998/1999. Ketika itu, sesiapa yang memasuki pertandingan berkenaan meskipun tidak bergelar juara, mampu mencipta nama. Begitu juga Irene.
Berkulit hitam manis dengan ketinggian seperti yang didambakan pihak agensi, wanita itu acap kali dipanggil menjadi penghias muka depan majalah dan papan iklan.
Bukan itu sahaja, Irene turut mempunyai asas dalam bidang tarian dan lebih arif dalam tarian balet membuatkan dirinya lebih istimewa.
Selama 13 tahun beliau bergelumang dalam dunia model, Irene akhirnya membuat satu keputusan berat iaitu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada arena peragaan ketika namanya masih di puncak.
Apa yang dilakukan Irene selepas itu? Cerita wanita itu, beliau tidak berbuat apa-apa selain menguruskan keluarga dan membesarkan anak-anak.
Pun demikian,kehidupannya telah berubah 360 darjah.
Kepada SinarIslam beliau berkata, dirinya melakukan transisi mendadak dengan mengenakan hijab terlebih dulu sebelum memakai niqab sepenuhnya.
Jelas, daripada seorang model dan penari, ALLAH SWT dengan penuh kasih sayang menganugerahkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.
Sisi lampau
Ketika bertemunya di Studio Sinar kira-kira dua bulan lalu, penulis terkesima melihat beliau dan keluarganya. Salah seorang anak perempuannya yang comel mengenakan hijab menjadi perhatian warga Sinar Harian.
Suaminya, Aarif Piergiorgio, 39, pula tidak henti-henti mengukir senyuman. Berkesempatan berjumpa secara empat mata dengannya memberi peluang lebih baik untuk penulis menggali kisah silamnya yang sukar dijejaki melalui internet.
[caption id="attachment_18346" width="1024"] IRENE (kanan) lebih selesa menguruskan rumah tangga yang dibina bersama suaminya Aarif (kiri) dan anak-anaknya.[/caption]
Perkataan pertama yang terpacul dari mulutnya ketika pertama kali duduk semeja ialah alhamdulillah dan ia kerap diulangi sepanjang perbualan kami.
Kepada penulis, ibu kepada enam cahaya mata itu mengakui, berhijrah tidak sesukar mana. Namun, untuk kekal istiqamah, tidak mudah. Mengapa?
Jawapannya, ia memerlukan seseorang mempunyai hati yang benar-benar kuat dan cekal. Sebelum bercerita lanjut, penulis bertanya tentang sisi lampau hidupnya.
Tanpa berselindung, Irene membuka kisahnya. Ujar wanita itu, beliau bermula dalam bidang peragaan sejak berusia 14 tahun lagi. Kata beliau, pada mulanya memang tidak terfikir sedikit pun untuk menjadi seorang model memandangkan beliau aktif bersukan. Namun, apabila dilamar oleh sebuah agensi modeling terkemuka, dunianya mula berubah.
Ketika usianya menginjak 16 tahun, Irene menyertai Dewi Remaja 1998/1999. Walaupun tidak menang, namun dirinya tetap menjadi pilihan untuk menjadi model bagi sebuah jenama minuman terkemuka.
"Saya juga pernah menyertai pertandingan Asia Bagus. Syarikat agensi yang minta saya menyertainya. Mereka kata suara saya sedap, tapi tak menang juga,” ceritanya sambil tertawa kecil.
Bimbing suami
Biarpun nama Irene ketika itu menjadi sebutan, namun sekitar tahun 2008 iaitu ketika berumur 27 tahun, Irene nekad berhenti daripada bidang peragaan selepas berkahwin.
"Pada masa itu, saya sudah mula mendalami ilmu agama, tapi masih tak pakai tudung lagi. Apabila saya diserang gastrik,saya rasa seolah-olah nyawa saya bakal ditarik. Kemudian ibu saya meninggal dunia pula. Daripada situ, saya mula mengenakan selendang dan semakin mendekatkan diri dengan ALLAH,” katanya.
Pada saat cuba mentransformasikan diri, perkahwinan Irene dilanda gelombang. Beliau bercerai dengan suaminya pada 2013 selepas dikurniakan empat anak.
Tidak mengeluh apalagi memarahi takdir, Irene percaya terselit hikmah di sebaliknya. Ternyata ALLAH MAHA BERKUASA apabila sebaik tamat tempoh idah, wanita itu dipertemukan dengan seorang lelaki warga Itali yang kini menjadi suaminya, Aarif.
"Perkenalan kami bermula menerusi aplikasi WeChat. Mengenali dirinya membuatkan saya benar-benar kagum. Bayangkan dia banyak tahu pasal Islam dan sejarah agama suci ini. Rupa-rupanya, Aarif memang belajar pasal Islam dan sirah nabi sejak di bangku sekolah lagi. Di Eropah, ia menjadi subjek wajib untuk dipelajari di sana,” katanya.
Genap dua minggu perkenalan, Aarif melamar Irene selepas seminggu lelaki itu memeluk Islam. Biarpun jauh terpisah beribu batu, Irene tanpa lelah membimbing Aarif belajar mengaji, solat dan al-Quran. Semuanya dilakukan secara online sahaja.
"Tiga bulan kemudian, Aarif terbang ke Kuala Lumpur. Bila saya perkenalkan kepada keluarga di Kelantan, ramai seakan tidak percaya dengan pilihan suami saya.
"Ketika azan Maghrib berkumandang, semua orang terkejut bila nampak Aarif siap sedia untuk bersolat, sedangkan yang lain masih sibuk bersembang,” ceritanya sambil memberitahu, detik itu menjadi permulaan Aarif diterima baik dalam keluarganya.
Selepas bernikah pada 14 Februari 2014, Irene mengikuti suaminya ke Itali pada bulan Disember tahun yang sama.
Meneruskan ceritanya, Irene berkata, di Itali, beliau hanyut seketika apabila kembali aktif dalam tarian balet.
"Pada mulanya, ia hanya cuma sekadar suka-suka sahaja kerana Itali memang terkenal dengan tarian balet.
"Bakat yang dimiliki membuatkan saya ditawarkan untuk menyertai pertandingan. Niat asal hanya untuk mencapai kepuasan diri. Selain di Itali, saya turut sertai pertandingan di Jerman, Switzerland, Sepanyol dan Perancis.
"Bila teringat semula bagaimana saya terpaksa buka tudung balik, rasa malu dan menyesal teramat. Suami saya pun ada nasihatkan saya, tapi saya cakap, ia sekadar untuk penuhi keinginan saja," ujar beliau.
[caption id="attachment_18347" width="1024"] SUAMI Irene, Aarif kini mengusahakan perniagaan lasagne 'Pokcik Itali' dengan dibantu Irene untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.[/caption]
Kembali muhasabah
Tidak lama kemudian, Irene ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar di sebuah studio tarian balet terkemuka di Itali.
"Mula-mula, ramai yang mendaftar untuk kelas berkenaan. Namun entah di mana silapnya, makin lama makin berkurangan bilangan pelajar hingga majikan tidak mampu hendak bayar gaji.
"Bila saya pindah ke studio lain, perkara sama hampir berlaku. Dipendekkan cerita, saya tak sempat pun terima gaji hasil menjadi tenaga pengajar tarian," ceritanya.
Segala kejadian yang berlaku membuatkan Irene termenung dan terfikir sejenak. Beliau kembali bermuhasabah diri. Wanita itu merasakan bahawa ALLAH sebenarnya sedang melindunginya daripada terus melakukan perkara yang sia-sia.
"Sebelum ini, saya pernah berdoa supaya ALLAH menjauhkan saya daripada perbuatan dosa dan sia-sia. Bila saya renungkan balik, seolah-olah saya terhalang menerima gaji hasil daripada unsur syubhah dengan mengajar tarian itu. Saya menangis semahu-mahunya kerana saya bersyukur ALLAH sekali lagi menyelamatkan saya daripada terus hanyut,” katanya.
Sejak bulan Mac lalu, Irene bersama suaminya, Aarif dan enam anak mereka termasuk hasil perkahwinan terdahulu pulang ke Malaysia.
"Kami dibawa balik oleh kerajaan Malaysia ketika wabak Covid-19 ‘mengganas’ tempoh hari. Kami ambil peluang ini untuk pulang ke Malaysia dan menyekolahkan anak kedua di sekolah agama di sini.
"Pada masa sama, kami berniaga lasagne ‘Pokcik Itali’ di sekitar Pengkalan Chepa, Kelantan dan Gombak, Selangor serta kawasan sekitar sebagai sumber pendapatan kami,” katanya.
Biar apa jua ujian yang mendatang, Irene berdoa semoga ALLAH tetap menguatkan iman dan hatinya dengan agama Islam serta menunaikan kewajipan sebagai hamba-NYA dengan sempurna.
Lakukan hijrah, masih belum lambat untuk bertaubat
Penghijrahan sememangnya sangat dituntut dalam agama Islam. Ia sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, pada zaman sekarang, penghijrahan membawa makna yang begitu luas. Ia dijadikan sebagai satu prinsip hidup kerana hijrah bererti meninggalkan.
[caption id="attachment_8720" width="1024"] USTAZ WAN AKASHAH[/caption]
"Seseorang itu dikatakan berhijrah jika memenuhi dua syarat ini iaitu sesuatu yang ditinggalkan dan sesuatu yang dituju (tujuan),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.
Beliau turut memetik kata-kata Saidina Umar RA sebagai pedoman buat kita. Kata khalifah Islam kedua itu:"Hitung diri kamu sebelum dihitung oleh ALLAH.”
"Ini bermaksud, kita disuruh bertaubat kepada ALLAH dari segi maknawi. Kadangkala orang ingin berhijrah, tetapi hanya mengubah pemikiran tetapi tidak pada pakaian dan cita rasa.
"Sebenarnya kita kena penuhi empat perkara tadi, barulah lengkap dikatakan seseorang itu bertaubat kepada ALLAH SWT. Masih belum terlambat untuk kita bertaubat selagi nyawa masih belum sampai di kerongkong.
"Itulah yang berlaku kepada bekas model, Amrinee Ghazi yang berubah bukan sahaja dari segi penampilan, tetapi juga tingkah laku, cita rasa dan keyakinannya,” katanya.
Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang sebenar-benar hijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH (daripada melakukannya).” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasaie)
Menjawab satu soalan lain, Ustaz Wan Akashah menjelaskan:"Tidak salah apabila seorang isteri memimpin suaminya yang mualaf. Ini kes terpencil dalam kehidupan seorang Muslim.
"Perkara itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang mana ada seorang sahabat ingin berhijrah kerana ingin berkahwin dengan wanita Muslimah sejati. Namun, wanita itu meletakkan syarat supaya berhijrah ke Madinah jika ingin berkahwin dengannya. Maka sahabat tadi pun berhijrah.
"Jelas bahawa tidak salah untuk isteri memimpin suaminya,” katanya.