"Aku serahkan seluruh jiwa dalaman aku untuk isteri, moga selepas selesai operation ini kita dapat menjalani hidup secara normal. Nurse kata, isteri derma buah pinggang untuk suami itu biasa.
Mohammad Hilmi berkongsi kisah isterinya, Noratiqah Abd Latif, 32, yang mengalami kerosakan buah pinggang kronik tahap lima di laman Facebook miliknya sebelum menjalani rawatan pemindahan buah pinggang di hospital awam pada 28 Julai lalu.
Memetik laporan akhbar tempatan, menurut Mohammad Hilmi, dia diuji dengan perkara tersebut setelah isterinya disahkan menghidap penyakit kronik itu sekitar tahun 2017.
Keputusan perubatan menunjukkan jalan terbaik untuk isterinya menjalani kehidupan normal tanpa melakukan rawatan dialisis adalah dengan membuat pemindahan buah pinggang.
Mohammad Hilmi yang bekerja sendiri berkata, dia bersyukur penantian tiga tahun akhirnya tertunai apabila rawatan pemindahan buah pinggang itu berjalan lancar.
Kini penjagaan harus mengikut nasihat doktor untuk kekal sihat. Buat masa ini mereka perlu membuat medical check up seminggu tiga kali untuk memantau perkembangan semasa.
Mohammad Hilmi juga turut memberi nasihat kepada kenalannya dan juga orang ramai untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.