PENYANYI Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apabila kini bergelar nenek dengan kelahiran cucu pertamanya pada Rabu.
Bayi lelaki yang diberi nama Ayden Johan itu merupakan cahaya mata pertama, Syakir Iman yang juga merupakan putera sulung Nora dan Allahyarham Johan Nawawi.
Menerusi laman Instagramnya, Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin, 47, ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan berkongsi beberapa foto cucu dan keluarganya.
"Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi ALLAH. Saya sangat gembira dan bersyukur diatas kurniaan ini. Gembiranya hanya ALLAH yang tahu.
"Hari ni 26 Ogos 2020 merupakan hari bersejarah untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sandiwara itu berkata, kehadiran cucu pertama itu tentunya turut memberi kegembiraan yang sama kepada arwah suaminya.
"Pa.. kita dah dapat cucu dah. Kalau abang masih hidup, mesti abang gembira sangat.
"Baby selamat, sihat, semangat, cute dan macam iman. Sama macam kita sambut Iman dulu,” luahnya.
Nora turut mengucapkan tahniah buat anaknya, Syakir dan menantunya, Putri Eilya Sofea atas kelahiran ahli keluarga baharu mereka.
"Moga kehadiran Ayden Johan bakal menambah lagi seri dan kebahagiaan dalam keluarga sederhana kami. Moga Allah memberkati kami semua dunia akhirat.
"Wan gembira dan sangat teruja. Wan nak Ayden jadi anak yang baik dan soleh yaa, macam arwah atok, Johan Nawawi,” katanya.
(FOTO: Instargram Nora Ariffin)