KEMELUT rumah tangga yang dilalui hingga berlakunya perceraian bersama isteri pada Februari tahun lalu membuatkan Daus Eli mengalami depresi.
Ditambah pula apabila netizen tidak berhenti melemparkan kecaman seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di sebalik perkahwinan yang dibina sejak 2013.
Daus yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) berkata, disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan persepsi negatif segelintir pihak, dia pernah berasa seperti tidak mahu hidup lagi.
"Saya tak minta pun semua ini terjadi, ia adalah ketentuan ALLAH SWT. Ketika saya berada dalam depresi, pernah terdetik tak nak hidup lagi.
"Tapi, saya bersyukur masih ada keluarga memberikan sokongan. Malah, disebabkan semangat itulah, saya bangkit semula meneruskan kerjaya dalam bidang muzik,” jelasnya.
Enggan lagi menoleh ke belakang, Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli muncul dengan single Takdir Kita.
Single terbitan syarikat rakaman Nova Music yang dilancarkan pada 28 Ogos lalu itu merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Daus.
[caption id="attachment_20004" width="1020"] Daus Eli mengakui penceraian yang berlaku dalam perkahwinannya memberi impak besar dalam kehidupannya.[/caption]
Menurut Daus, lagu itu adalah luahan isi hatinya mengenai apa yang dilalui sepanjang hampir dua tahun bergelut dalam masalah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan.
"Lagu ini mengenai lelaki yang mengharapkan sesuatu daripada wanita yang pernah dicintai suatu ketika dahulu. Sebenarnya, lagu ini berkaitan dengan bekas isteri saya. Ia dibuat dua tahun sebelum saya bercerai.
"Ketika itu saya sudah depresi, tak ada semangat dan kecewa. Jadi, saya buat lagu ini mengikut mood ketika itu.
"Sewaktu melancarkan single ketiga, kami masih lagi bahagia. Cuma dalam tempoh dua tahun itu sudah ada masalah sikit. Isu cerai tak habis lagi, netizen pula hentam kononnya saya ceraikan isteri semasa dalam pantang. Jadi berlakulah konflik.
"Lagu ini memang dibuat untuk dia, tapi jodoh kami tak lama. Sekarang ini saya reda saja atas ketentuan ALLAH. Apa saja berlaku, janji saya tak lupa anak-anak,” katanya.
Kembali aktif
Menurut Daus, 2020 adalah tahun dia kembali memeriahkan industri muzik tanah air.
Walaupun perlu bersaing dengan penyanyi baharu yang jauh lebih muda, itu bukan penghalang buat dirinya.
"Sepanjang dua tahun itu saya menyepi dan fokus bisnes. Tahun ini, saya bangkit dan sekarang bernaung di bawah Nova Music.
"Saya keluarkan lagu ini pun untuk anak-anak selain berniaga untuk menambah pendapatan.
"Saya sedar walaupun tak setanding dengan artis lain dari segi pengikut di Intagram, tapi semangat tetap ada untuk memajukan diri dan takkan mengalah dalam bidang muzik.
"Terpulang orang nak kata apa, paling penting saya sudah sampaikan mesej lagu ini,” ujarnya.
Menariknya, lagu Takdir Kita dipilih menjadi lagu tema bagi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri yang bakal ditayangkan di slot Samarinda, TV3 tidak lama lagi.
[embed]https://youtu.be/h2F_at9uVs8[/embed]