GABUNGAN semangat patriotisme dan keinginan untuk mengenang kembali perit getir generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan mendorong dua sahabat mengayuh basikal sejauh 1,002 kilometer untuk menjelajah enam negeri.
Menurut sumber, Md Nasir Ahmad, 61, dan Ishak Mohamad, 58, memulakan kayuhan itu pada 25 Ogos lepas dari Alor Gajah, Melaka menuju ke Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan dijangka tiba semula di Alor Gajah pada 16 Sept ini bersempena sambutan Hari Malaysia.
Md Nasir berkata, kembara itu adalah inisiatif mereka berdua untuk menjejak kembali lokasi bersejarah yang berkaitan dengan tokoh pejuang kemerdekaan zaman dahulu seperti Mat Kilau, Dol Said, Datuk Bahaman dan Tok Gajah.
Ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, mereka singgah di Pantai Penarik, Setiu untuk berehat sebentar sambil menikmati keindahan pantai dan keenakan makanan laut di situ.
Md Nasir, bekas jurulatih Biro Tatanegara manakala Ishak, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Abu Seman Yusop, terharu dengan budi baik dan keramahan anak muda Terengganu yang meraikan mereka dengan menyediakan makan minum di Penarik serta pengurusan Hotel Primula yang menyediakan kemudahan penginapan untuk mereka berdua.
Mengenai pengembaraan kali ini, ia bukanlah yang pertama kerana pada tahun 2018, kedua-dua sahabat yang berkenalan sejak 2001 itu telah melakukan kembara merdeka dengan menunggang motosikal dan pada tahun 2019, kembara merdeka dilakukan dengan memandu kenderaan pacuan empat roda.
Namun, mereka mengakui kembara merdeka secara berbasikal kali ini lebih bermakna kerana berpeluang mendekati rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat dengan lebih mudah.
Sementara itu, Ishak berkata beliau bersyukur dan gembira kerana pengalaman kembara kali ini telah mendapat sambutan positif daripada komuniti setempat di setiap lokasi persinggahan mereka.
Mengulas mengenai cabaran yang ditempuhi sepanjang kayuhan itu, Ishak berkata, cuaca panas, faktor muka bumi yang berbukit bukau di beberapa lokasi serta terperangkap selama dua jam dalam ladang estet pada waktu malam ketika hujan ribut adalah cabaran yang tidak dilupakan.
Biarpun kembara merdeka itu dilaksanakan tanpa penajaan kewangan mana-mana pihak, kedua-dua sahabat itu tetap gembira kerana dapat meneroka pelbagai kisah sejarah kemerdekaan negara seperti mana objektif asal mereka.
BERNAMA