LENGKAP berpakaian sut badut, Yusmanizam Hassan menghiburkan orang ramai di Pasar Chowrasta yang bertempat di Pulau Pinang sambil menjual air serbat yang dibuatnya sendiri untuk menjana pendapatan.
Memetik laporan portal media tempatan, Yusmanizam, 34, juga dikenali sebagai ‘Yuyu the Clown’ berkata, pekerjaan sepenuh masanya itu terjejas akibat wabak Covid-19 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, sebelum PKP dikuatkuasakan, Yusmanizam biasanya membuat persembahan sekurang-kurangnya di lima acara seminggu dan mampu memperoleh RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.
Justeru, dia membuat keputusan untuk menjual air serbat bagi menambah pendapatan dan isterinya pula memberikan idea untuk berpakaian seperti badut ketika menjual air yang popular di negeri ini itu, bagi menarik pelanggan.
Selain menjual di Pasar Chowrasta, Yusmanizam turut menjual air serbat yang dibotolkannya itu dari rumah ke rumah.
Beliau turut mempromosikan produknya itu secara dalam talian dan sambutannya amat menggalakkan.
Yusmanizam berharap dapat kembali melakukan pekerjaan sepenuh masa sebagai badut apabila PKP berakhir, tetapi akan terus menjual air serbat sekiranya masih ada permintaan.