BERSAMA DR SENTHIL KUMARAN,
Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Laguna Merbok, Kedah
SOALAN
SAYA mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan bimbang dia akan terkena cacar air. Mengapa cacar air disifatkan penyakit biasa dialami kanak-kanak? Adakah cacar air dan demam campak penyakit yang sama?
-IBU BIMBANG, Salmah Yusof, 38, Kuala Lumpur
JAWAPAN:
DEMAM campak dan cacar air adalah penyakit berjangkit yang berbeza sifatnya. Demam campak disebabkan virus rubeola, manakala cacar air berpunca daripada virus varicella zoster.
Penyakit cacar air boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa. Ia mudah berjangkit melalui udara ketika pesakit batuk atau bersin.
Di samping itu, virus daripada ruam berisi air yang pecah juga boleh merebak melalui udara.
Selain sebaran udara, bersentuhan, duduk di dalam bilik yang sama atau berada jarak dekat dengan pesakit menyebabkan seseorang berisiko mendapat jangkitan.
Setelah dijangkiti, virus itu akan melalui tempoh inkubasi selama 10 hingga 21 hari di dalam badan sebelum munculnya tanda jangkitan.
Menjawab persoalan puan yang mempunyai anak berusia dua tahun, lazimnya golongan bayi baru lahir dan kanak-kanak berusia setahun hingga 12 tahun adalah antara kumpulan umur berisiko mengalami cacar air.
Bagaimanapun, pada usia tersebut, penyakit berkenaan tidak menimbulkan sebarang komplikasi serius dan dijangka sembuh sendiri selepas tujuh hingga 10 hari.
[caption id="attachment_20380" width="1024"] CACAR air adalah penyakit berjangkit yang biasa dialami oleh kanak-kanak dan ia boleh merebak melalui udara.[/caption]
Namun begitu, bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia setahun ke bawah atau 12 tahun ke atas yang sedang mengalami cacar air perlu berhati-hati kerana bimbang berlakunya komplikasi lain seperti jangkitan paru-paru atau
radang otak dan hati.
Justeru, sebagai persediaan awal, anak-anak diberikan vaksin. Untuk makluman, vaksin cacar air tidak diberikan dalam Program Imunisasi Nasional, maka ibu bapa bertanggungjawab mengambil inisiatif mendapatkannya di klinik atau hospital swasta.
Tujuan vaksin adalah untuk membina antibodi sekali gus mengurangkan risiko penyakit serius.
Kadangkala vaksin tidak dapat memberikan perlindungan penuh terhadap jangkitan cacar air, tetapi ia dapat mengelakkan komplikasi dan cepat sembuh.
Selain vaksin, ibu bapa juga harus memastikan anak mereka tidak berada dekat dengan individu yang sedang dijangkiti. Pada masa sama, tidak menghantar anak ke sekolah atau berada di khalayak ramai memandangkan ia
adalah penyakit berjangkit.
Tanda-tanda anak alami cacar air
• Demam.
• Lesu, selesema ringan.
• Hilang selera makan.
• Timbul ruam selepas dua atau tiga hari
dan merebak ke seluruh badan dalam
tempoh 24 jam.
• Ruam tersebut berbentuk benjolan
merah berisi air pada permukaannya
(lepuh).
• Ruam sangat gatal dan boleh berlaku
pada kemaluan, mata atau mulut.
• Ruam mula pecah dan mengering
manakala ruam baharu akan muncul di
tempat lain.
• Kesemua ruam akan kering dan
meninggalkan parut selepas seminggu.