Sultan Selangor berkenan beli Kasut Emas milik Khalid Jamlus, dipamer di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor

Iklan
Sultan Selangor berkenan beli Kasut Emas milik Khalid Jamlus, dipamer di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor1

INGAT lagi tak kisah bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus yang menjual kasut emas yang dimenanginya 18 tahun lalu menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya?

Ya! Khalid yang turut pernah beraksi bersama Selangor dan Kelantan menjelaskan dia terpaksa berbuat demikian atas faktor kewangan selepas tiga tahun tidak bekerja.

Iklan
Iklan

Terbaharu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus, pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Menurut akaun media sosial rasmi Selangor Royal Office, majlis penyerahan ringkas tersebut berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.

Iklan

Baginda juga berkenan agar trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid pada tahun 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah.

Untuk rekod, Khalid pernah mewakili pasukan Selangor dalam Liga Perdana pada musim 2005-2006.

Iklan

Khalid, yang juga bekas pemain Perak, merangkul anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan 17 gol ketika membantu Perak muncul juara Liga Perdana 1 pada musim 2002.

Selain Kasut Emas, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya.

Tindakan Khalid 'melepaskan' barangan yang dianggap mempunyai nilai sentimental tinggi bagi seseorang pemain itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Sebelum ini, media melaporkan bekas penyerang kebangsaan itu meletakkan harga RM10,500 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya, setelah menganggur selama tiga tahun dan kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak disambung.