PELAKON Wan Sharmila menerima kejutan istimewa daripada Syazwan Zulkifli apabila menerima hadiah berupa sebentuk cincin ketika sesi live di laman Instagram beberapa hari lalu.
Hadiah tersebut tentunya menarik perhatian peminat mereka, sekali gus menguatkan lagi gosip yang mengatakan pasangan pelakon itu mempunyai hubungan istimewa.
Menerusi sesi live tersebut, Wan Sharmila, 39, bagaimanapun mempersoalkan tindakan Syazwan, 33, berbuat demikian kononnya atas alasan ingin memohon maaf.
Bagaimanapun reaksinya itu terus dijadikan bahan usikan peminat yang rata-ratanya mahukan dia memberikan peluang kepada Syazwan dan mendoakan agar mereka bersama suatu hari nanti.
Hubungan Wan Sharmila dan Syazwan mula diperkatakan ramai apabila kedua-duanya memperlihatkan keserasian dalam drama bersiri popular, 7 Hari Mencintaiku 2.
Ditambah lagi dengan tindakan Syazwan yang sering melayani usikan para peminatnya dengan membalas komen yang diberikan seolah-olah menyokong apa yang diperkatakan mereka.
Bagaimanapun, Wan Sharmila dilihat memberi reaksi yang sebaliknya setiap kali berdepan usikan peminat mahupun Syazwan.
(FOTO: Instagram Wan Sharmila)