"Saya masih Budok Kuba (budak kerbau). ‘Tsunami’ ini lebih menguatkan semangat dan beri kekuatan untuk terus berusaha, kerana saya yakin rezeki berganda akan tiba kemudian nanti.”
Demikian kata Muhammad Syukur Khamis, 15, atau ‘Mowgli Malaysia’ setelah kehilangan 56 daripada 110 ekor kerbau milik keluarganya, akibat wabak hawar berdarah.
Melihat wajah sugul Muhammad Syukur, sukar dipastikan apa yang bergelodak di hatinya, namun beliau mengakui peristiwa yang berlaku sejak 9 Sept lepas amat meruntun jiwa, hingga adakala terasa seperti sudah kehilangan ‘kawan baik’.
Memetik laporan portal media tempatan, Syukur turut dikenali sebagai ‘Kampung Boy’ kerana kebolehannya berinteraksi dengan haiwan itu sejak berusia enam tahun, sepertimana juga adik beradiknya yang lain.
Ini kerana mereka sering mengikut bapa mereka, Khamis Jusoh, 64, ke kandang dan sejak itu beliau mempunyai beberapa ekor kerbau kesayangan termasuk ‘Semek’ dan ‘Tongkol’ yang mati baru-baru ini.
Tidak sepertimana remaja lain yang biasanya meluangkan masa dengan pelbagai gajet dan permainan dalam talian, Muhammad Syukur mengakui jiwanya lebih tenang berada di sekeliling haiwan ternakan, meskipun kaki dan tangannya ada kala tercalit najis haiwan itu serta lumpur.
Muhammad Syukur berkata, kejadian itu bukan sahaja memberi peringatan kepadanya, tetapi juga kepada penternak lain supaya sedar tentang kepentingan vaksin, dan sensitif dengan persekitaran supaya tidak berlaku lagi jangkitan yang sama.
Bagi Khamis pula, semangat anak-anaknya bagaikan suntikan kekuatan baharu untuk terus bertahan dan sehingga kini tujuh daripada lapan anaknya, bertungkus lumus memastikan bangkai kerbau ditanam dengan baik dan baki yang masih hidup, akan dapat bertahan.
Katanya, kehilangan besar itu adalah pengalaman pertama sejak menjadi penternak 50 tahun lalu dan paling menyedihkannya apabila melihat kerbau yang sedang bunting turut mati, malah ada anak kerbau yang enggan menerima susu lain selepas ibunya mati.
Khamis berkata, wabak itu membantutkan hasratnya untuk menternak secara fidlot, namun dia yakin Muhammad Syukur akan merealisasikannya suatu hari nanti, berdasarkan minat anak bongsu dari lapan beradik itu dengan haiwan.
Tekadnya mahu menambah bilangan kerbau yang masih sihat agar dapat membiak dengan baik dan Khamis mahu anak-anaknya terus berusaha sepertimana di peringkat awal beliau mula menternak, iaitu penghujung tahun 1970-an dengan hanya bermula daripada tiga kerbau yang diwarisi dari ayahnya.
Kunjungan Bernama ke kandang itu mendapati selain Muhammad Syukur, tiga lagi adik beradiknya iaitu Muhamad Kamil, 31; Muhamad Alias, 30, dan Norain Solehah, 21, turut bermandi hujan dan bergelumang lumpur, kerana mahu memasang jaring untuk dijadikan bumbung kandang itu.
Mereka juga dilihat bersama-sama memberi makanan kepada 54 ekor kerbau yang masih sihat dan memasang pagar besi, agar haiwan itu tidak merempuh keluar kandang sepanjang proses kuarantin selama 14 hari berjalan.
Kawasan seluas seekar itu juga kelihatan sunyi sepi, tidak sepertimana keadaan sebelum ini yang sentiasa menjadi tumpuan ramai hingga menarik perhatian ramai jurugambar profesional dari dalam dan luar negara, bagi merakam aksi luar biasa Muhammad Syukur bersama lebih 100 'rakan sepermainannya' itu.
Sebelum ini, foto unik remaja itu bersama binatang peliharaan pernah mendapat tempat pertama dalam Asia Geographic -Image of Asia Photography Award 2018 oleh jurugambar profesional Mohd Nazri Sulaiman dan dinobatkan sebagai 20 gambar terbaik dunia dalam Pertandingan Fotografi Antarabangsa berprestij, Siena International Photo Awards 2018.
Terbaharu, gambarnya yang dirakam Yusuf Madi diangkat sebagai Imej Asia 2020 untuk bulan Ogos oleh Asian Geographic bagi kategori Orang/Jalanan.
BERNAMA