NAK menolong dan berkongsi itu tak salah, tapi perlu berhati-hati dalam segala hal. Tak semua benda atau perkara kita boleh kongsikan terutama akaun bank. Awas!
Niat memang untuk cuba menolong kawan dengan memberikan akaun bank tetapi tanpa sedar kita telah melakukan perkara yang salah dan melanggar undang-undang.
Kes ditipu selepas meminjamkan akaun bank sudah semakin kerap dilaporkan termasuk dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah yang kita tak buat pun (malangnya kita terperangkap kerana meminjamkan akaun bank) kepada kawan atau pihak ketiga yang lain.
Untuk lebih penjelasan, ikuti nasihat dan perkongsian yang diberikan oleh peguam bela dan peguamcara, Ahmad Shamil Azad mengenai risiko apabila kita memberikan kad bank kepada pihak ketiga.
Ingat ya, jenayah tidak mengenal mangsa. Kadang kala, kawan baik sendiri sering menunggu peluang untuk menganiayai kawan sendiri terutama dalam kes melibatkan salah guna wang.
Kes yang sering berlaku adalah yang mana ramai dalam kalangan orang ramai meminjam akaun bank pihak ke tiga untuk membuka perniagaan atas alasan namanya disenarai hitam oleh pihak bank. Awas, perbuatan tersebut mampu mengundang jenayah!
Antara kes yang semakin kerap dilihat di Mahkamah seluruh Malaysia adalah kes melibatkan kesalahan membantu menyimpan/menyorok/memiliki harta curi tanpa alasan munasabah.
Punca mereka dituduh? Kerana mereka Meminjam/menyerahkan akaun bank kepada pihak ketiga!
Rata-rata mereka dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya mereka beruntung, mungkin mereka akan ditawarkan pertuduhan dibawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil di mana hukuman adalah denda yang boleh sampai RM1000 atau penjara maksima 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes seperti ini secara lazimnya, tertuduh telah menyerahkan akaun bank kepada pihak ketiga untuk sama dipinjam untuk tujuan perniagaan, terutamanya kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang telah disenarai hitam oleh bank.
Tak kurang pula ada antara mereka yang menjadi mangsa kepada 'SCAM' pinjaman wang yang mengguna pakai media sosial seperti Facebook yang mana mangsa penipuan ini akan diminta menyerahkan kad ATM bersama nombor pin untuk 'memasukkan wang pinjaman'.
Ramai orang awam yang mengalami kesempitan wang tertipu dengan janji manis organisasi Scam seperti ini yang menawarkan pinjaman wang dengan syarat yang amat ringan dan terma yang menarik.
Menurut Ahmad Shamil, ada juga yang dengan sengaja menyerahkan akaun kepada organisasi yang menjalankan perjudian secara online dan mendapat pulangan 'upah' kerana meminjamkan akaun tersebut.
SH: Jangan sesekali serahkan akaun bank kepada pihak ketiga!
Apakah yang mungkin berlaku sekiranya korang masih berkeras dan melakukan perbuatan demikian?
Korang masih dikira bertanggungan terhadap penggunaan akaun tersebut. Segala kesalahan yang dilakukan pengguna akaun akan dikesan balik kepada pemilik akaun dan sekiranya siasatan mendapati bukti terputus setakat disitu sahaja tanpa dapat mengesan identiti pengguna akaun tersebut, agak-agaknya siapakah suspek utama bagi kesalahan tersebut? Sudah tentu pemilik berdaftar akaun atau lebih tepat korang lah!
Jadi korang akan berisiko menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain!
Sekiranya pengguna akaun menjalankan kesalahan menipu atau 'scam' terhadap orang awam, korang berisiko disiasat dan dituduh dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Lebih teruk lagi silap-silap korang perlu 'bermalam' di lokap selama beberapa hari sehingga siasatan selesai.
Bagaimana pula sekiranya akaun tersebut digunakan untuk menyalurkan wang haram atau akaun tersebut digunakan untuk membuat sumbangan kepada organisasi pengganas di luar negara?
Risiko yang anda tanggung adalah amat besar.
Walaupun Pengguna Akaun yang membuat kesalahan, korang sebagai pemilik Akaun berdaftar akan berdepan dengan proses perbicaraan yang rumit dan terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang.
Oleh itu berfikirlah sebelum bertindak. Jangan sesekali meminjamkan akaun, kad ATM dan nombor PIN kepada mana-mana pihak ketiga walaupun dengan ahli keluarga atau kenalan terdekat.
Sumber : FB Ahmad Shamil Azad.