Sentiasa jaga, buat pemeriksaan otak kita, boleh elak serangan strok

Iklan

TANYA diri sendiri, agaknya, bila kali terakhir kita membuat pemeriksaan otak? Adakah pemeriksaan pada bahagian penting tubuh manusia itu memang diabaikan sama sekali?

Jika anda bersikap demikian, apa kata ubah sikap itu. Ketahuilah, otak bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengawal setiap pergerakan dan memastikan kehidupan terkawal, malah ia juga berperanan untuk mengawal tindak balas kognitif dan reseptor deria.

Iklan
Iklan

Pakar Neurologi Sunway Medical Centre Velocity, Dr Kok Chin Yon berkata, kesihatan otak sama penting kerana ia menentukan kemampuan seseorang itu untuk berfikir, bertindak dan hidup dengan baik.

"Apabila kesihatan otak diberi penjagaan yang sebaiknya, ia dapat mengurangkan faktor risiko penyakit seperti strok dan mampu memastikan minda kekal aktif terutamanya apabila sudah meningkat usia.

Iklan

"Oleh yang demikian, bagi memastikan kesihatan otak berada pada tahap yang sangat baik, seseorang perlu amalkan teknik SEMMMS yang merupakan langkah terbaik untuk mencegah penyakit pada bahagian otak,” ujarnya lagi.

Berikut perincian teknik SEMMMS:

Iklan

i) Tidur (Sleep is key)

Banyak kajian menunjukkan tabiat tidur yang lemah boleh menyebab atau mempercepatkan penurunan kognitif.

Dua kajian susulan yang dilakukan di Sepanyol dan Iceland menunjukkan orang tua yang menghidapi insomnia lebih berisiko mengalami penyakit Alzheimer (AD) dan tidur yang terlalu sedikit boleh mencetuskan migrain.

Kebersihan tidur yang baik atau sleep hygiene adalah kunci untuk tidur malam yang baik. Ia termasuk menepis alat yang memancarkan cahaya satu ke dua jam sebelum tidur, mengelak sebarang aktiviti lain kecuali tidur di atas katil, mengambil kafein selepas jam 3 petang dan mengambil makanan berat atau melakukan senaman berintensiti tinggi pada waktu malam.

ii) Kerap bersenam (Exercise regularly)

Gaya hidup yang aktif telah terbukti memberi manfaat kepada kesihatan otak.

Pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Dunia menyarankan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup aktif yang berupaya mengurangkan risiko demensia.

Fizikal yang tidak aktif juga merupakan faktor risiko yang boleh dikawal bagi penyakit strok. Oleh itu, tetapkan matlamat untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 40 minit pada satu masa dalam tiga kali seminggu.

iii) Bijak kawal penyakit (Get your medical illness under control)

Tekanan darah tinggi adalah salah satu faktor risiko untuk menghidap strok.  Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengawal tekanan darah.

Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan perubahan pada saluran darah kecil pada otak dan seterusnya akan menyebabkan risiko mengalami strok dan demensia di kemudian hari.

Mereka yang menghidap diabetis mestilah berdisiplin untuk rawatan susulan kerana mereka berisiko tinggi menghidap hipertensi dan kolesterol tinggi yang mana kedua-duanya memerlukan untuk mengambil ubat tepat pada masanya.

iv) Bermeditasi (Practise meditation)

Amalan meditasi boleh mengurangkan serangan berulang kemurungan dan ketagihan.

Pandemik Covid-19 di seluruh dunia telah meningkatkan jumlah masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan dengan kegelisahan.

Kajian oleh Beth Israel Deaconess Medical Centre baru-baru ini menunjukkan meditasi memainkan peranan yang penting untuk memperlahan pengembangan demensia yang berkaitan dengan Alzheimer.

Sekiranya diamalkan secara berkala, meditasi boleh membantu menenangkan fikiran seseorang, mengurangkan kegelisahan dan membantu mengurangkan tekanan.

v) Manfaatkan diet MIND (Adopt a MIND diet)

MIND bermaksud Mediterranean-DASH (penundaan neurodegeneratif) dan merupakan gabungan kedua-dua diet Mediterranean dan Pendekatan Diet untuk Menghentikan Hipertensi.

Diet konsep itu adalah dengan menikmati sayur-sayuran hijau, sayuran berdaun, bijirin, beri, minyak zaitun, ayam, ayam belanda dan ikan.

Kajian epidemiologi menunjukkan, diet tersebut dapat melambatkan penuaan otak sekitar 7.5 tahun dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Tabiat pemakanan yang buruk seperti pengambilan garam yang tinggi dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah adalah tingkah laku utama yang boleh diubah suai yang menyumbang kepada peningkatan kecacatan daripada penyakit kardiovaskular dan strok.

vi) Bersikap aktif dari segi sosial (Be socially active)

Menjadi seorang yang aktif secara sosial dapat mengurangkan risiko mengalami demensia.

Interaksi sosial tidak terhad kepada perbualan secara bersemuka sahaja. Ia juga boleh berinteraksi melalui perbualan telefon, e-mel ataupun panggilan video.

Terdapat banyak platform yang membolehkan perbualan lebih daripada dua orang pada satu masa secara maya dan ia boleh menjadi cara yang baik untuk terus berhubung dengan kelurga dan rakan-rakan. Membentuk rangkaian sokongan yang baik juga boleh membantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan.

Sehubungan itu, pemeriksaan pada bahagian otak sangat signifikan, kata Dr Chin Yong.

ANEKDOT

PENYAKIT melibatkan keadaan otak:

Di Malaysia, strok adalah penyebab kematian ketiga tertinggi. Terdapat dua jenis iaitu:

  1. Strok Iskemia: Bekalan darah ke otak terjejas disebabkan pembekuan darah.
  2. Strok Hemoragik: Arteri pada otak pecah dan mengakibatkan pendarahan.

Seringkali, masalah strok berlaku melibatkan faktor yang tidak dapat diubah seperti usia dan sejarah keluarga.

Namun, masih ada faktor yang boleh diubah termasuk sejarah perubatan serta gaya hidup dan diet pemakanan harian.

Sumber: Pakar Neurologi Sunway Medical Centre Velocity, Dr Kok Chin Yong.