DARIAH KASSIM, 41, memberitahu, memiliki berat badan berlebihan membawa banyak masalah kepadanya.
Antaranya, beliau memiliki tahap kolestrol yang tinggi. Lantaran itu, Dariah berkata, dirinya perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan susulan setiap dua bulan sekali.
Namun, beberapa minggu lalu, selepas didiagnos, Dariah terkejut apabila dimaklumkan doktor bahawa beliau menghidap penyakit hati.
"Doktor maklumkan, hati saya berlemak dan hal ini memang merisaukan saya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
SinarPlus kemudian mendapatkan pandangan seorang Pakar Perubatan Am, Dr Syid Ayod Syid Mustafa Al-Qudri untuk mengupas lebih lanjut mengenai penyakit berkenaan.
Dr Syid Ayod berkata, hati merupakan organ yang berperanan penting dalam metabolisma badan dan juga pusat penyimpanan glikogen (simpanan tenaga).
"Hati membantu badan mencerna makanan dan menapis racun atau toksik. Penyakit sindrom hati berlemak yang juga dikenali sebagai fatty liver disease itu terjadi apabila sekumpulan lemak terbentuk pada hati," katanya.
Pakar itu menambah, hati berlemak adalah penyakit yang biasa terjadi, namun rata-rata pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda dan komplikasi melainkan sekiranya ia sudah berada pada tahap serius.
"Antara tanda yang dialami (jika penyakit menjadi serius) adalah seperti pembesaran hati (hepatomegali), rasa tidak selesa di sebelah kanan bahagian atas abdomen, keletihan, loya, hilang selera makan, najis berwarna pudar dan warna mata atau kulit sedikit kekuningan," katanya.
Pun demikian, sindrom hati berlemak masih boleh diatasi dan disembuhkan jika dikesan awal.
Bagaimanapun, jika dibiarkan tanpa rawatan, seseorang pesakit berpotensi mengalami masalah radang dan parut pada hati yang dipanggil non-alcoholic steatohepatitis.
"Lama-kelamaan, ia boleh membawa kepada fibrosis (tisu parut) yang mencederakan hati dan seterusnya menyebabkan kerosakan hati," jelasnya.
Fruktosa berlebihan
Dr Syid Ayod memberitahu SinarPlus, jika dulu penyakit tersebut hanya berlaku dalam kalangan mereka dalam kategori dewasa, namun kajian terkini menyaksikan kumpulan remaja yang berusia seawal 24 tahun berpotensi berdepan masalah sama.
"Penyakit berkenaan akan lebih agresif menyerang mereka yang mengalami berat badan berlebihan dan obes.
"Benar, jika masalah (berat badan) dipandang ringan, seseorang berisiko diserang penyakit serius lain seperti kanser hati, diabetes jenis 2 dan serangan jantung," terangnya.
Secara asasnya, terdapat dua jenis sindrom hati berlemak iaitu:
i) Sindrom hati berlemak tanpa alkohol.
ii) Sindrom hati berlemak disebabkan oleh alkohol.
Menurut pakar perubatan berkata, sebelum ini, majoriti kes sindrom hati berlemak dikaitkan dengan pengambilan arak atau alkohol secara berlebihan.
Penyelidikan sains terkini telah menunjukkan sebaliknya apabila penyakit itu lebih kerap berlaku bukan disebabkan oleh alkohol tetapi pengambilan fruktosa yang tinggi.
Contoh makanan dan minuman yang mengandungi fruktosa berlebihan adalah gula pasir, minuman berkotak dan makanan diproses.
[caption id="attachment_21755" width="1024"] GULA pasir antara sumber yang mempunyai fruktosa yang tinggi.[/caption]
"Bahan yang dinamakan fruktosa itu dipanggil sebagai toksin hati yang kronik kerana apabila dihadam, ia akan menghasilkan titisan lemak di dalam hati.
"Pengambilan fruktosa yang banyak juga dikaitkan dengan peningkatan paras asid urik yang akan menjadi penyebab kepada masalah gout.
"Selain itu, ia menjadi punca mengapa seseorang menjadi gemuk, perut buncit, rintangan insulin, kolesterol tinggi dan masalah darah tinggi. Semua itu dipanggil sebagai sindrom metabolik yang berupaya meningkatkan risiko penyakit jantung hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding individu normal yang lain," jelasnya.
Dalam hal tersebut, Dr Syid Ayod menegaskan, gula pasir yang dibubuh pada makanan atau minuman secara keterlaluan menjadi punca utama kepada masalah penyakit hati berlemak.
Industri makanan yang aktif menghasilkan pelbagai pemanis alternatif juga menjadi pemangkin kepada masalah berkenaan.
"Sekali lagi saya ingatkan, jika semua benda-benda manis dikonsumsi pada kuantiti yang banyak, ia akan membebankan organ hati manusia," tegasnya.
Adakah pengambilan buah-buahan segar yang mengandungi fruktosa itu juga tidak bagus untuk tubuh badan. Jawabnya, meskipun buah-buahan mengandungi bahan tersebut, ia tidak merbahaya jika diambil secara sederhana kerana kandungan serat dan fitonutrisi yang tinggi di dalamnya akan membantu meneutralkan keradangan yang berlaku pada hati.
Bukan penyakit genetik
Sementara itu, seorang pengamal perubatan am di Klinik Dr Norman di Shah Alam, Selangor menafikan penyakit hati ada kaitan dengan genetik.
Seperti kata Dr Syid Ayod, Dr Norman Mohd Norawi berkata, penyakit yang dibimbangi ramai itu memang ada kaitan dengan faktor pemakanan selain gaya hidup yang tidak sihat.
Bertanya mengenai cara mengesan penyakit hati berlemak, beliau berkata, ia boleh disahkan melalui pemeriksaan paras enzim hati melalui ujian darah.
"Ujian lain yang boleh dibuat adalah seperti ujian paras trigliserida, kolesterol LDL, kolesterol HDL, jumlah kolesterol dan glukosa darah," katanya.
Antara alternatif lain adalah melalui imbasan abdomen.
Bagi sesetengah pesakit pula, kata Dr Norman, pendekatan biopsi hati mungkin boleh dijalankan dalam memastikan kewujudan sindrom hati berlemak dan tahap penyakit tersebut.
Sememangnya penyakit hati berlemak tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana dalam jangka yang panjang, seseorang boleh mendapat sirosis hati, kata Dr Norman.
Sirosis merupakan keadaan yang menyaksikan struktur dan fungsi hati terganggu.
Beritahu pakar itu, pesakit sirosis boleh mendapat gejala ascites (pengumpulan cecair pada abdomen), muntah darah (disebabkan oleh pendarahan pada salur varices di salur pemakanan) dan juga hepatik enkephalopathi (koma) selain kanser hati disebabkan oleh kegagalan fungsi hati.
"Individu yang ada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan dyslipidemia mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit sindrom hati berlemak berbanding individu normal yang lain," katanya.
Selari dengan pandangan Dr Syid Ayod, Dr Norman berkata, penyakit hati tidak mempunyai simptom yang ketara pada peringkat awal.
Justeru, penting untuk seseorang tidak lupa menjalani rawatan susulan dengan doktor masing-masing.
"Ingin saya tegaskan, pencegahan awal akan dapat mengelakkan pesakit mendapat sirosis dan komplikasi-komplikasi lain," ujarnya.
Berikut adalah panduan bagaimana seseorang boleh mengatasi masalah hati seperti yang disyorkan laman web perubatan terkenal Amerika Syarikat, www.mayoclinic.org:
i) Pilih makanan yang sihat: Makan makanan berasaskan tumbuhan yang sihat yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian dan lemak sihat.
ii) Mengekalkan berat badan: Sekiranya berlebihan berat badan atau gemuk, kurangkan jumlah kalori yang dimakan setiap hari dan banyak melakukan senaman. Jika berat badan anda ideal, berusaha untuk mengekalkannya dengan memilih diet yang baik dan bersenam.
iii) Senaman: Bersenam hampir setiap hari dalam seminggu. Dapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu jika anda dalam kategori yang tidak kerap bersenam kerana disebabkan perkara-perkara tertentu.
ANEKDOT
HATI adalah organ yang paling aktif di dalam tubuh. Ia terletak di sebelah kanan bahagian atas abdomen. Antara fungsi hati adalah:
- Memproses, menyimpan dan mengedar nutrien ke seluruh badan.
- Membantu memproses karbohidrat, protein dan lemak.
- Menghasilkan asid hempedu untuk memecahkan lemak ketika penghadaman makanan
- Menghasilkan protein dalam pembekuan darah.
- Membuang alkohol, bahan kimia dan bahan toksin lalu disingkirkan melalui air kencing
Sumber: myhealth.gov.my