PRODUK kosmetik ditakrifkan sebagai produk yang diguna pakai untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan dan mengekalkan badan dalam keadaan baik pada anggota luar badan, anggota kelamin serta di dalam mulut.
Kalau dilihat kepada takrifan, produk kosmetik hanya disyorkan penggunaanya pada permukaan dan luaran badan sahaja.
Berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk-produk yang dimakan, diminum dan juga disuntik tidak dikategorikan dalam kumpulan produk kosmetik.
Sementara, produk kosmetik tiruan atau palsu didefinisikan sebagai produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang atau racun berjadual yang berbahaya dan mampu memberi risiko kepada kesihatan pengguna.
[caption id="attachment_21856" width="1024"] PARA pengamal perubatan dan juga penyelidik di negara ini bimbang dengan kemunculan pelbagai produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang.[/caption]
Menurut Pensyarah Kanan, Mikrobiologi Perubatan, Sekolah Perubatan Antarabangsa, Management and Science University (MSU), Dr Muhd Ridzuan Pauzi, kemunculan produk-produk kosmetik tiruan di pasaran tempatan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Katanya, situasi itu amat membimbangkan bagi pengamal-pengamal perubatan dan juga penyelidik di negara ini.
Risiko besar
Dr Muhd Ridzuan yang juga Ketua Kumpulan Penyelidik Pembangunan Produk Semula jadi berkata, dalam kalangan masyarakat kita, penggunaan produk tiruan atau dikenali sebagai produk kosmetik timbang kilo yang tidak terkawal mampu memberi risiko kepada kesihatan pengguna.
Penggunaan bahan terlarang seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin dikesan paling banyak terdapat dalam produk kosmetik tiruan yang ada di pasaran tempatan, katanya.
Ujar Dr Muhd Ridzuan, penggunaan hydroquinone tanpa kawalan juga boleh menyebabkan kulit pengguna akan menjadi kemerahan dan ruam yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Begitu juga dengan penggunaan merkuri dan tretinoin yang tidak terkawal dalam produk kosmetik.
Impak pada ekonomi
Isu penggunaan dan penjualan kosmetik tiruan yang tidak terkawal dalam pasaran tempatan sekarang ini bukan hanya memberi implikasi kepada sektor kesihatan, malah juga mampu menjejaskan sektor ekonomi negara terutama bidang kecantikan (industri spa) dan juga perubatan estetik , ujar Dr Muhd Ridzuan.
Menurut Dr. Ridzuan lagi, kesan kepada sektor penyelidikan dan pembangunan produk kosmetik dan estetik di institut penyelidikan dan pengajian tinggi tempatan boleh terjejas dengan penjualan produk kosmetik tiruan dengan berleluasa.
[caption id="attachment_21857" width="1024"] PENGGUNAAN dan penjualan kosmetik tiruan yang tidak terkawal dalam pasaran tempatan boleh menjejaskan sektor ekonomi negara terutama dalam industri spa dan perubatan estetik.[/caption]
"Dengan adanya produk kosmetik tiruan ini, penerimaan masyarakat terhadap produk yang berasaskan penyelidikan dan analisis makmal akan menurun.
"Pengguna akan lebih memilih kepada produk kosmetik tiruan yang mengandungi bahan terlarang berbanding produk yang berasaskan penyelidikan disebabkan oleh keberkesanannya yang cepat pada kulit tanpa mengira risiko kesihatan yang perlu di hadapinya.
"Hal ini perlu dicegah dan penguatkuasaan perlu ditingkatkan bagi menghalang penjualan produk kosmetik tiruan ini terus berleluasa di dalam pasaran tempatan," katanya.
Peranan pengguna, syarikat kosmetik
Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya meneliti produk kosmetik yang ingin digunakan dengan mendapatkan maklumat yang betul dan tepat berkenaan dengan sesuatu produk kosmetik yang ingin dibeli, kata Dr Muhd Ridzuan.
Katanya, perkara asas yang perlu diambil kira adalah kandungan atau bahan yang digunakan dalam penghasilan produk kosmetik tersebut selain daripada proses penyediaan yang baik dan berkualiti.
"Faktor ini membantu para pengguna untuk memilih produk kosmetik yang sesuai dan berkualiti sekali gus meningkatkan kesihatan pengguna.
Pengguna yang bijak juga merujuk kepada pengamal profesional kesihatan bagi mendapatkan kefahaman dan nasihat yang betul bagi mengelakkan penggunaan kosmetik tiruan.
Sehubungan itu, mereka disarankan menggunakan laman web KKM di bawah NPRA bagi menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my.
Laman web itu akan membantu pengguna mengetahui status sesuatu produk kosmetik sama ada ia dibenarkan atau tidak dipasarkan di pasaran tempatan.
"Dengan kemunculan media sosial yang semakin maju, penjualan produk kosmetik tiruan melalui media sosial terus meningkat dan berleluasa.
Kepada pengusaha syarikat kosmetik khususnya, kata Dr Muhd Ridzuan, mereka seharusnya mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi dalam penghasilan dan pemasaran produk kosmetik mereka.