KES peniaga emas menipu pembeli melalui timbangan berat menjadi-jadi kebelakangan ini.
Ada peniaga yang memasukkan logam lain di dalam barangan kemas yang dijual dengan tujuan menaikkan lagi berat barangan berkenaan.
Perkara itu sangat tidak bertanggungjawab!
Dengan itu, setelah menerima banyak aduan orang ramai, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat keputusan untuk mengambil tindakan membuat pemeriksaan ke kedai emas seluruh negara.
Tindakan pemeriksaan secara rawak ke atas kedai emas akan dibuat oleh KPDNHEP untuk memeriksa alat timbang bagi tujuan perdagangan barangan yang melibatkan emas.
Artikel berkaitan: Jangan suka-suka kongsi akaun bank, silap gaya boleh dipenjara!
Peniaga emas yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menipu pembeli ketika membuat timbangan berikutan harga emas yang tinggi di pasaran.
KPDNHEP mengatakan dalam satu kenyataan, KPDNHEP boleh mengambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kepada peniaga yang melakukan kesalahan menipu dalam timbangan.
Setakat 31 Ogos 2020, KPDNHEP telah mengeluarkan 2,900 kompuan kepada peniaga yang menipu semasa timbangan dengan nilai rampasan RM1,823,983 dan nilai kompaun RM416,350.
Jadi, wahai penggemar emas, berhati-hatilah ketika membeli barangan kemas bagi mengelak ditipu.