FENOMENA aktiviti kayuhan berbasikal dalam kalangan masyarakat hari ini dilihat ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan' terutamanya akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Aktiviti tersebut juga kini menjadi hobi baharu pelbagai lapisan peringkat umur dan ada juga yang menjadikannya aktiviti berkeluarga hujung minggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan yang mana orang ramai kini bebas melakukan aktiviti luar.
Hobi yang semakin mendapat tempat itu bagaimanapun timbul beberapa isu khususnya berkaitan keselamatan selain turut mendapat kritikan dan bualan warganet.
Dalam keasyikan dan keseronokan mereka menikmati aktiviti tersebut sebenarnya sedar tak sedar mereka juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Tambahan pula bagi pendatang baharu, mereka masih belum memahami garis panduan keselamatan untuk menunggang basikal dengan betul.
Mana tidaknya beberapa laluan lebuh raya ketika ini menjadi tumpuan kelompok berbasikal tidak kira sama ada pendatang baharu mahupun yang sedia ada.
Ramai lagi yang tidak tahu bagaimana cara menunggang basikal dengan selamat dan cara hormati pengguna jalan raya lain.
Bagi mereka yang gemar membuat kayuhan pada waktu malam terutama dengan keluarga dan anak-anak pula beberapa garis panduan dan keselamatan perlu dititik beratkan supaya kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ingat, risiko sentiasa ada di mana-mana! Jika kita leka ia mampu membawa padah!
Antara peraturan dan keselamatan yang perlu dititik beratkan adalah seperti berikut :
1. Sentiasa ditemani oleh orang dewasa
Kanak-kanak haruslah sentiasa ditemani oleh orang dewasa atau ahli keluarga yang lebih tua.
2. Memakai topi keledar khas untuk basikal
Pastikan saiz topi keledar adalah sesuai dan ia dipakai dengan betul.
3. Berpakaian cerah
Pakai baju berwarna cerah atau gunakan alat pemantul cahaya apabila berbasikal pada waktu malam.
4. Kenal pasti laluan yang paling selamat
Gunakan laluan khas basikal dan jalan raya yang diterangi cahaya lampu.
5. Pasang lampu basikal
Pastikan basikal dilengkapi dengan lampu putih di hadapan. Lampu merah di belakang dan pembalik cahaya merah di sisi.
6. Berbasikal di sebelah kiri jalan raya
Pastikan anda mengambil laluan dengan berbasikal di sebelah kiri jalan raya atau di bahu jalan.
7. Jangan berbasikal beriringan melebihi dua orang
Ikut satu barisan seorang demi seorang di jalan raya yang sempit atau sibuk.
Sumber : Majlis Keselamatan Jalan Raya