BEKAS penyampai berita TV3, Izwan Azir Saleh bakal melengkapkan barisan penyampai Kool FM apabila diberi kepercayaan mengendalikan segmen petang di Kool FM.
Izwan yang bakal memulakan tugasnya pada Isnin, 5 Oktober ini akan ke udara pada jam 3 petang hingga 7 malam dengan membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya yang lebih santai serta bersahaja.
Penyertaan Izwan dalam keluarga baharu Kool FM dilihat mampu menguatkan lagi tonggak barisan penyampai dan bertepatan dengan konsep Kool FM yang memfokuskan kepada isu semasa, sosial dan komuniti.
Melihat kepada latar belakang Izwan sendiri yang berpengalaman sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita di TV3 selama 16 tahun dan kemudiannya menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.
Mengulas tentang penyertaan Izwan, Ketua Audiens Melayu, Kool FM, Shah Hayatudin, berkata, ia merupakan satu penambahan yang baik untuk Kool FM kerana Izwan merupakan seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam mengendalikan isu semasa serta permasalahan sosial dalam dan luar negara.
"Kami yakin dengan kredibiliti dan kemampuan Izwan dalam industri ini akan menjadi satu pasukan yang lebih ampuh bersama AG, Haiza, Muaz dan Rea,” katanya.
Kekal menerajui segmen pagi Kool FM ialah AG, Haiza dan Muaz yang ke udara pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Manakala Rea pula meneruskan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi serta hiburan, pada jam 10 pagi hingga 3 petang. Sementara Refleksi Kool mengisi slot pada jam 7 hingga 8 malam dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan. Diikuti seleksi lagu-lagu terbaik era 80an, 90an hingga terkini akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
(FOTO: Kool FM)