JIKA kebanyakan orang lebih senang mempertikaikan kesilapan dan mencari kesalahan orang lain apabila sesuatu masalah timbul, lain pula dengan pelakon Lisdawati.
Menurut Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 42, apabila diberikan ujian oleh ALLAH SWT, dia lebih senang untuk bermuhasabah dan mencari kesilapan diri sendiri.
Katanya, dengan cara itu, dia lebih berlapang dada dalam menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.
"Bukan dalam kehidupan rumah tangga sahaja, tetapi juga masalah dalam keluarga. Kalau ada ujian yang datang, saya lebih senang fikir apa salah yang saya dah buat.
"Saya juga sering mengingatkan diri saya bahawa kematian semakin dekat. Dengan cara itu, saya tak suka berdendam sebaliknya berbincang untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pelancaran program Nurkids & Turath di Shah Alam baru-baru ini.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi filem KL Menjerit itu, dalam setiap masalah dia lebih senang mengadu kepada ALLAH SWT agar hatinya tenang dan tenteram.
"Macam saya kalau tidak dapat mengadu dengan seseorang yang lebih dekat, saya akan mengadu dengan ALLAH
"Kadang-kadang bila kita mengadu kepada ALLAH, saya akan menangis dan perasaan itu datang secara tiba-tiba,” ujarnya.
Ditanya mengenai luahannya di Instagram baru-baru ini yang dilihat sesetengah pihak menjurus kepada rumah tangganya, Lisdawati berkata, ia hanya menceritakan soal komunikasi dalam keluarga dan bukan berkaitan keretakan rumah tangga.
Katanya, perkongsian itu adalah sebahagian daripada ilmu yang diperoleh ketika membintangi drama bersiri Light & Love terbitan Nurflix baru-baru ini.
"Dalam kehidupan, adakalanya kita tak sedar ada individu yang terguris dengan kita.
"Saya pun ada keluarga besar yang mana saya sendiri ada masalah komunikasi. Jadi, entri itu adalah nasihat untuk diri saya dan semua orang jika ada masalah apa patut buat, nak simpan, jaga hati atau perbetulkan.
"Jadi saya ambil langkah untuk duduk berbincang dan mendengar luahan orang lain juga. Alhamdulillah permasalahan itu dapat diselesaikan dalam tempoh kurang tiga hari.
"Dengan abang (Fauzi) juga tiada masalah dan kami saling memahami. Apa jua kisah yang datang sebelum ini, saya anggap sebagai ujian yang perlu tempuhi dan menguatkan lagi hati saya untuk menghadapi ujian pada masa akan datang,” jelasnya.
[caption id="attachment_22660" width="1020"] Keluarga bahagia Lisdawati dan Fauzi.[/caption]
Lisdawati berkahwin dengan Fauzi pada 9 September 2007. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.
Fauzi turut memiliki empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nurul Hainil Fatihah, Fareez Hazwan, Nurul Hana Farisya dan Mohd Fikri Hakimi.