BINTANG bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid selamat berlepas ke Portugal Sabtu lalu bagi melengkapkan perpindahannya secara pinjaman ke pasukan liga utama negara itu, Portimonense SC.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu yang membantu JDT merangkul kejuaraan Liga Super sebanyak empat kali sejak menyertainya pada 2017, dipinjamkan ke Portimonense selama satu musim.
Keberangkatan pemain skuad Harimau Malaya ke Portugal tempoh hari juga ditemani ahli keluarga, rakan karib dan teman wanitanya, Syifa Melvin.
Apa yang menjadi tumpuan warganet adalah ciapan yang dibuat oleh Syifa Melvin menerusi laman akaun Twitternya dengan kapsyen ucapan buat pemain bola sepak itu baru-baru ini.
Safawi turut memberi respon kepada kapsyen tersebut dengan meninggalkan emoji ‘Love’.
Dalam ciapan itu, Syifa mendoakan yang terbaik buat pemain bola tersebut dan terus memberi tumpuan pada perlawanan serta latihan sepanjang berada di sana.
Tambahan Syifa, dia juga berjanji akan menjaga keluarga Safawi yang berada di sini sebagaimana yang telah dijanji.
Wow, so sweet!
Memetik laporan portal media tempatan, mengulas mengenai penghijrahan Safawi ke Portugal, ia merupakan satu peluang keemasan dalam mengembangkan kariernya.
Muhammad Safawi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 2018 dan 2019 sekali gus menjadikan beliau pemain paling muda memenangi anugerah MVP pada usia 21 tahun.
Tonggak pasukan kebangsaan itu telah meledak 47 gol dalam 101 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dalam kesemua pertandingan tempatan dan antarabangsa.
Muhammad Safawi akan menjadi pemain Malaysia kedua yang berhijrah ke liga utama Eropah selepas pemain muda meningkat naik negara Luqman Hakim Shamsuddin yang menyertai kelab liga Belgium KV Kortrijk daripada Selangor 2.
Portimonense kini di kedudukan ke-15 Liga Primeira selepas tewas dalam dua aksi pertama saingan musim 2020/2021 yang bermula bulan lepas.
Tahniah Safawi. Teruskan berjuang dan berusaha capai apa yang diimpikan selama ini!