HANYA kerana ditawarkan dengan harga murah dan tak masuk akal kini ramai yang menjadi mangsa dan ditipu oleh individu tidak bertanggungjawab menjual kereta ‘klon’!
Sindikit licik itu sering memperdaya mangsa dengan mengiklankan jualan kereta mewah dengan harga murah berbanding harga pasaran.
Akibatnya, ramai yang terpinga-pinga apabila mengetahui mereka telah terbeli kereta klon, malah lebih teruk, menerima saman atas kesalahan yang tidak dilakukan.
Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan sindiket kereta klon menjadikan media sosial sebagai platform mereka untuk menjual kenderaan berkenaan kepada orang ramai.
Memetik laporan portal media tempatan, Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, modus operandi sindiket itu kini mengiklankan kenderaan berkenaan secara terbuka dan bukan lagi bersembunyi seperti sebelum ini.
Hanif Yusabra bekata, orang ramai dinasihat tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan penjualan kereta dengan harga terlalu murah dan tidak munasabah itu.
Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata sejak penguatkuasaan bermula 2011 sehingga kini, sebanyak 204 kes kereta klon telah disita.
Jadi, sebelum membuat keputusan untuk membuat sebarang urus niaga korang perlu fahami dulu beberapa perkara penting ini. Antaranya adalah seperti :
Apa itu kereta klon?
Identiti kereta korang mungkin dicuri oleh penjenayah dan digunakan pada kenderaan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Pengklonan kereta juga dibuat oleh mereka yang melakukan kesalahan trafik dan enggan membayar saman.
Bagaimana pengklonan kereta dibuat?
Penjenayah akan memindahkan nombor pendaftaran dan nombor casis palsu, lazimnya daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan, kepada kereta klon.
Kereta klon kemudiannya diberikan identiti baharu dengan segala dokumen disediakan seperti cukai jalan dan geran kenderaan untuk urusan jual beli.
Bagaimana nak pastikan jika korang adalah mangsa?
Korang mungkin akan menerima notis saman kesalahan trafik yang korang tidak pernah lakukan.
Korang juga akan diminta memberi keterangan atas 'pembabitan' kereta itu dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Lebih buruk lagi korang mungkin akan ditahan ketika sekatan jalan raya dan diberitahu bahawa kereta korang adalah kereta klon.
Cara elak jadi mangsa
Ambil tahu perkembangan harga kereta semasa. Jangan beli jika harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada sepatutnya.
Periksa segala dokumen yang diberikan. Lebih baik, bawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan dan periksa kesahihannya.
Semoga bermanfaat!