POLIS sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan taktik digunakan penjenayah siber dan menegaskan pihak berkuasa tidak sekali-kali akan membuat panggilan telefon kepada mana-mana individu untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.
Memetik laporan portal media tempatan, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis hanya akan membuat panggilan untuk membuat temu janji hadir ke balai polis bagi sebarang urusan rasmi.
Ditanya mengenai kes penipuan pembelian dalam talian, Acryl Sani berkata, individu yang tertipu semasa pembelian dalam talian dinasihat untuk ke balai polis bagi membuat laporan kerana polis memerlukan maklumat mengenai nombor akaun yang digunakan penjenayah siber.
Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja sejumlah 28,508 pelbagai kes penipuan dalam talian melibatkan 18,130 akaun keldai dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.4 bilion.
Sehubungan itu, sebagai langkah berjaga-jaga, korang juga boleh memeriksa dan menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih hanya dengan menggunakan aplikasi khas.
Aplikasi tersebut dikenali sebagai Semak Mule dan korang yang ingin menggunakan aplikasi tersebut boleh memuat turun Semak Mule di platform Google Playstore.
Aplikasi tersebut boleh diakses pada bila-bila masa untuk membuat semakan awal sebelum korang menjadi mangsa penipuan.
Apa pun berhati-hati!