SUSULAN penularan wabak Covid-19, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula dari 18 Mac lalu sehingga 14 April depan.
Justeru, segala aktiviti di luar rumah yang menyebabkan orang ramai terdedah kepada kontak berkelompok adalah dilarang sama sekali.
Bagaimanapun, itu bukanlah perintah berkurung yang menyebabkan anda tidak boleh keluar rumah langsung. Cuma pergerakan adalah terhad di tempat-tempat tertentu sahaja.
Orang awam masih boleh ke pasar raya untuk membeli produk makanan asalkan mengambil langkah berjaga-jaga.
Begitupun, buat mereka yang ragu-ragu untuk berbuat demikian, usah bimbang. e-Trend minggu ini berkongsi tiga aplikasi perkhidmatan penghantaran barang basah.
Tugas anda hanya perlu memesan produk menerusi aplikasi, bayar dan tunggu di rumah. Mudah bukan?
1 Tesco Online Malaysia
BAGI mereka yang gemar membeli produk makanan dan barang segar di pasar raya Tesco mungkin boleh menarik nafas lega. Jika bimbang untuk keluar, tunggu sahaja 'Tesco' datang ke rumah anda.
Biarpun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, anda masih berpeluang membeli-belah menerusi perkhidmatan Tesco Online Malaysia.
Pembelian secara atas talian yang disediakan oleh Tesco Plc sejak tahun 2015 itu hanya memerlukan pelanggan memilih barang keperluan mengikut kategori.
Antaranya ialah ayam, daging, sayur-sayuran, buah dan makanan dalam tin selain rempah ratus, makanan sejuk beku dan kordial serta minuman kotak.
Di samping itu, pelanggan juga boleh memilih slot masa penghantaran bermula antara jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dimaklumkan, setakat ini penghantaran barangan Tesco Online hanya ditawarkan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Seremban, Negeri Sembilan.
Caj penghantaran pula bergantung pada kawasan rumah dan tempoh masa yang dipilih. Aplikasi Tesco Online boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar menerusi App Store dan Google Play atau layari laman web eshop.tesco.com.my/groceries.
2 Jaya Grocer
MEMILIH tagline, 'Kami bukan sahaja menghantar barangan, kami juga menghantar kegembiraan' sudah cukup untuk menggambarkan komitmen pasar raya Jaya Grocer. Aplikasi bersaiz 61.8MB itu menyediakan perkhidmatan penghantaran barang dapur segar di sekitar Lembah Klang.
Selain sayur-sayuran seperti ubi kayu ataupun sawi, Jaya Grocer turut menawarkan seleksi buah-buahan terpilih. Antaranya strawberi, aprikot dan beri biru. Ia termasuk juga produk organik, snek, minuman, barang rumah dan kelengkapan penjagaan diri.
Perkhidmatan penghantaran Jaya Grocer beroperasi setiap hari. Pengguna bebas memilih slot pagi, tengah hari ataupun petang.
Jika ingin menyediakan hidangan tengah hari, pengguna boleh memilih slot penghantaran jam 10 hingga 11 pagi atau jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.
Mereka yang ingin memasak menu makan malam pula, pilih sahaja waktu jam 4 hingga 5 petang atau 5 hingga 6 petang.
3 HappyFresh
HappyFresh merupakan perkhidmatan menghantar barangan runcit dari kedai atau pasar raya pilihan hingga depan pintu rumah pelanggan.
Pembeli peribadi perkhidmatan berkenaan telah dilatih secara profesional dan berpengalaman memilih barangan terbaik, manakala pemandu berusaha menghantar dalam tempoh sejam.
Selain Tesco, HappyFresh turut menawarkan perkhidmatan pembelian di Village Grocer, Cold Storage, AEON dan Urban Fresh. Itu bermakna, pilihan produk anda tidak terhad di sebuah pasar raya sahaja.
Kawasan penghantaran buat masa ini di lokasi terpilih iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor pada perbelanjaan minimum sebanyak RM50.
Dari segi pembayaran, pengguna boleh membayarnya menggunakan kad debit, kad kredit atau e-wallet seperti Boost.
Foto: Google Play dan Canva