COVID-19 mengganas semula, 6 perkara penting yang patut kita tahu dan faham

Iklan
feature pix covid 19oct (1)

SEMENJAK dua-menjak ini, kita dikejutkan dengan penularan kes COVID-19 yang meningkat secara mendadak.

Kebanyakan kes diperhatikan timbul dengan ketara selepas pilihan raya di Sabah pada 26 September lalu.

Iklan
Iklan

Kini, Malaysia sedang berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19. Ini sudah semestinya menggusarkan hati semua pihak disebabkan kesan penularannya boleh menggugat kesejahteraan dan ekonomi negara.

Baru-baru ini, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB) bermula dari 14 Oktober hingga 27 Oktober depan setelah beberapa daerah dan Negeri di Kedah dan Sabah yang turut mengalami nasib yang serupa gara-gara peningkatan kes di kawasan terlibat.

Iklan

Justeru, apa yang perlu kita tahu mengenai COVID-19 pada ketika ini? Ikuti perkongsiaan dan lontaran pandangan Pengarah Perubatan, Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A Rashid dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Dr Nuruliza Roslan.

Iklan

  1. Apakah itu kontak rapat?

Menerusi entri Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, kontak rapat  kes positif COVID-19 merupakan individu yang terdiri daripada:

  • Mempunyai kontak secara langsung dengan kes positif Covid-19.
  • Bersemuka secara langsung dengan pesakit Covid-19 pada jarak kurang dari 1 meter.
  • Mempunyai kontak fizikal dengan kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari dari tarikh jangkitan.
  • Duduk berdekatan (kurang 1 meter dengan kes Covid-19) misalnya di pejabat atau di dalam kelas.
  • Dikesan mengembara bersama atau duduk dengan jarak yang dekat (kurang dari 1 meter) dengan kes positif Covid-19 sepanjang tempoh perjalanan.

Ahli keluarga yang tinggal serumah dengan kes positif Covid-19  dan anggota kesihatan yang merawat kes positif Covid-19  tanpa menggunakan alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap juga dikategorikan sebagai kontak rapat.

Central Disease of Control Prevention (CDC)  pula mendefinisikan bahawa kontak rapat sebagai individu yang berada dalam lingkungan 1.8 meter daripada  orang yang dijangkiti selama sekurang-kurangnya 15 minit.

 

  1. Kenapa perlu kuarantin selama 14 hari?

Kuarantin bermaksud mengasingkan  seseorang pesakit koranavirus (Covid-19) ataupun mereka yang mungkin terdedah kepada virus  daripada orang lain untuk satu tempoh masa atau sehingga ujian ulangannya menunjukkan dia tidak dijangkiti.

Tindakan ini dilakukan supaya pesakit atau kes tidak menjangkitkan virus tersebut  kepada orang lain.

Kerajaan Malaysia memutuskan, perintah untuk kuarantin kepada mereka yang baru tiba dari negara atau kawasan yang berisiko tinggi, wajib dipraktikkan bagi mengelak penularan wabak koranavirus.

 

Menjadi satu perkara yang leceh apabila kita dikenakan kuarantin sebegitu lama. Banyak perkara dan kerja tertangguh dek menunggu habisnya tempoh 14 hari itu.

Namun begitu, seluruh dunia juga telah menetapkan 14 hari adalah wajar bagi tempoh masa kuarantin. Berikut merupakan fakta bagaimana tempoh 14 hari telah ditentukan sebagai tempoh masa yang cukup:

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, tempoh inkubasi Covid-19 iaitu masa antara pendedahan kepada virus dan timbulnya gejala adalah secara purata 5-6 hari, tetapi boleh berlanjutan sehingga 14 hari. 
  • Pasukan penyelidik daripada Johns Hopkins University melaporkan, sebanyak 97.5 peratus individu  masih  bergejala sehingga hari yang ke-11 sejak gejala bermula.
  • China yang mana wabak bermula telah melaporkan bahawa tempoh inkubasi virus adalah selama 5-6 hari sehingga 14 hari.
  • Tempoh masa 14 hari adalah cukup untuk memberitahu sama ada seseorang itu dijangkiti atau tidak.

 

  1. Kenapa rebakan COVID-19 berlaku dengan pantas?

Jurnal perubatan Nature bertarikh 11 Mac 2020 telah membincangkan bagaimana virus ini boleh merebak dengan pantas.

Antara lain, ia melaporkan bahawa genetik dan struktur koronavirus tersebut merupakan antara penyebabnya. Struktur koronavirus yang mempunyai spikes yang unik di badannya berbanding virus yang lain mempercepatkan proses kemasukkan virus ke dalam sel manusia.

Menurut B.Coutard, dalam kajian mereka mendapati, spikes tersebut mempunyai jenis protein berbeza berbanding virus lain.

Manakala saintis, Li Hua dari Huazhong University of Science and Technology in Wuhan, China berkata, wabak itu bermula melaporkan bahawa spikes ini bertindakbalas  dengan sel enzim manusia dipanggil  furin yang terdapat di dalam kebanyakan organ manusia seperti paru-paru, hati dan usus kecil, seterusnya meemungkinkan risiko jangkitan pada organ tersebut apabila seseorang dijangkiti Covid-19.

Di samping itu, beberapa saintis berpendapat, faktor activation site juga menyumbang kepada kecepatan rebakan jangkitan virus ini.

Keadaan itu menyebabkan kadar jangkitan menjadi 10 kali lebih banyak dalam tempoh masa tertentu berbanding SARS (juga dalam keluarga koronavirus) yang melanda sebahagian negara sebelum ini.

Bagaimanapun, teori tersebut belum dapat disahkan dengan sempuna kerana perilaku koronavirus yang sering berubah dan tidak dapat dijangka.

Antara penyebab lain adalah sistem immunisasi badan manusia belum pernah terdedah kepada koronavirus ini yang mengakibatkan kadar jangkitan sangatlah cepat.

Ini adalah kerana imun sistem tidak terbentuk bagi menghapuskannya dari badan. Cara merebaknya adalah melalui cecair dan udara, menjadikan ia mudah dijangkiti kepada orang lain.

Dalam pada itu, Prof Z. Hong Zhou dari UCLA University menyatakan, satu titik cecair mempunyai kadar bilangan virus yang tinggi.

Hal yang demikian menjadi asas yang mana proses sanitasi perlu dilakukan apabila kes Covid-19 terdapat di sesuatu tempat. Selain itu, faktor immuniti kelompok (herd immunity) yang belum ada di dalam komuniti, mempercepatkan rebakan virus ini.

Sebab itulah tindakan awal wajib dilakukan dengan kuarantin atau pengasingan kendiri walaupun mereka tidak bergejala bagi memutuskan rantaian jangkitan bila mana sahaja mereka ada sejarah kontak rapat kepada rakan mereka yang positif.

 

  1. Gelombang ketiga Covid-19: Mahukah PKP berulang lagi?

Rata-rata di seluruh dunia, negara yang masuk fasa gelombang ketiga COVID-19 ni dilihat mempunyai lebih banyak kes Covid-19 dilaporkan berbanding fasa sebelumnya.

Pada awal Oktober lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia dikatakan sedang menghadapi gelombang ketiga Covid-19.

Mengikut laporan kes Covid-19 dari KKM, gelombang ketiga ini bermula dengan 2 kluster yang dikatakan sebagai penyumbang utama iaitu di Sabah dan Kedah.

Menurut analisis oleh Institut Penyelidikan Perubatan yang melihat pada sampel virus Covid-19 yang diambil daripada pesakit, didapati terdapat koronavirus yang telah mengalami mutasi D614G.

Virus yang mengandungi mutasi D614G ini dikatakan lebih senang untuk disebarkan dan lebih tinggi kadar jangkitan berbanding yang sebelum ini.

Peringatan kepada kita semua agar sentiasa terus untuk mengamalkan norma baharu kerana gelombang ketiga ini mungkin juga terjadi kerana kealpaan kita.

Sesungguhnya perjuangan kita masih belum selesai dan kita harus bersatu menghadapi musuh COVID-19 ini.

Apakah impak gelombang ketiga ini? Melihat pada graf KKM, kita telah melalui PKP sewaktu gelombang kedua Covid-19.

Impak sewaktu PKP dilaksanakan di seluruh negara ketika itu tersangatlah besar.

Hanya operasi yang kritikal seperti hospital dan kedai barangan runcit sahaja dibenarkan, manakala sektor-sektor lain telah diarah untuk tutup. Ramai yang terkesan akibat PKP ketika itu.

Antaranya, bukan sahaja impak dari segi ekonomi bahkan hubungan sosial sesama manusia juga terputus, namun dihubungkan melalui media sosial dan alam maya, di samping pengajaran dan pembelajaran secara digital dilaksanakan sepenuhnya.

Selain itu, terdapat juga cabaran bekerja dari rumah di samping memastikan kebajikan keluarga terjaga.

Mengambil pengajaran daripada PKP dan situasi ketika berhadapan dengan gelombang kedua yang lepas, untuk strategi gelombang ketiga kali ini, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan PKPB di beberapa buah negeri yang dikatakan berada di zon merah. Melalui PKPB ini, semua sektor perniagaan dibolehkan untuk beroperasi seperti biasa.

  1. Hentikan stigma sosial Covid-19

Rentetan daripada pandemik Covid-19, timbul satu lagi isu yang agak serius untuk kita ambil peduli iaitu provokasi Covid-19 telah menyebabkan berlakunya stigma sosial dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.

Situasi itu semestinya merupakan amalan yang tidak sihat bukan sahaja untuk para pesakit Covid-19, malah tempias kesannya boleh terjadi kepada semua lapisan masyarakat yang diketahui berkait dengan pesakit tersebut.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan adat budaya sopan santun  untuk menghentikan stigma terhadap COVID-19 ini.

Kita harus sentiasa menjaga setiap patah perkataan yang kita ungkap kerana ia mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain.

  1. Jaga alam kita: Impak amalan normal baharu?

Sewaktu perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara, dilaporkan bahawa tahap pencemaran udara dan sungai telah menurun dengan ketara.

Kita dapat melihat langit semakin cerah disebabkan kurangnya pencemaran udara dan juga sungai menjadi bersih.

Kurangnya pergerakan dan aktiviti manusia ketika itu memungkinkan alam persekitaran menjadi begitu nyaman dan sempurna. Inilah hikmah terbaik daripada PKP yang kita perolehi hasil pengorbanan kita duduk di rumah.

Bagaimanapun, sebaik sahaja PKP dilonggarkan dan seterusnya memasuki fasa pemulihan, kita dapat lihat udara segar di samping langit cerah tidak lagi kelihatan.

Air sungai kita juga kembali tercemar dengan sampah sarap. Ia menjadi parah apabila pada kala ini, timbul pula  isu lambakan pembuangan pelitup muka dimana-mana.

Cukuplah. Sebelum pandemik Covid-19 lagi, pembuangan sampah masih menjadi isu utama global dan kini ditambah lagi dengan peningkatan sampah ‘norma baharu’.

Amalan normal baharu dengan pemakaian pelitup muka dan sebagainya patut dilaksanakana bagi membendung wabak dan memastikan kita tidak dijangkiti virus.

Namun, pembuangan pelitup muka wajib dilakukan dengan sempurna tanpa membiarkan ia bersepah di merata-rata tempat. Tidakkah kita tahu bahawa tindakan tersebut adalah merbahaya bagi kesihatan?

Umum perlu tahu bahawa pelitup muka yang terpakai boleh menjadi sumber kepada jangkitan Covid-19 apabila ia terkena atau digunapakai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam kita cakna dalam mengamalkan norma baharu ini, kita juga patut cakna bagi memastikan alam sekitar sentiasa bersih terpelihara demi masa depan anak-anak. Buanglah sampah di tempat yang sepatutnya dan amalkanlah etika pembuangan pelitup muka dengan betul.

Sekiranya kita alpa, hidupan flora dan fauna akan turut terkesan dan boleh musnah disebabkan sikap endah tak endah kita. Kempen #mohcaknafacemask #USIMjagasemua adalah merupakan salah satu inisiatif daripada USIM dalam memastikan isu pemakaian yang betul dan pembuangan selamat pelitup muka terpakai di ambil peduli.

Seperti kata Dr Mohd Radzniwan dan Dr Nuruliza, tingkahlaku Covid-19 terhadap kesihatan manusia kadangkala tidak dapat dijangka.

Melalui pertemuan Menteri Luar China minggu lalu, Malaysia dijanjikan akan mendapat bekalan vaksin tersebut. Namun beberapa syarikat pembangunan vaksin di Amerika Syarikat terpaksa memberhentikan proses kajiannya beberapa hari yang lepas kerana dilaporkan ada kesan sampingan vaksin yang menggusarkan.

Menurut etika perubatan, hal sedemikian perlu diselidik dengan lebih terperinci bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan penerima vaksin terjamin, kata dua pengamal perubatan tersebut. #kitajagakita

Foto Unpslash