Virus SARS-CoV-2 punca Covid-19
WABAK koronavirus (Covid-19), sebelum ini disebut 2019-nCoV yang semakin agresif menjangkiti manusia di banyak negara sememangnya kian menggusarkan.
Terkini, dikenali sebagai SARS-CoV-2 yang dinamakan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Mengenai Taksonomi Virus, ia dikatakan masih terdapat sedikit persamaan dengan virus SARS-CoV.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran menjelaskan, nama penyakit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 pula ialah Covid-19.
[caption id="attachment_1503" width="600"] DR Safiya Amaran.[/caption]
Menurutnya Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyeus, 'CO' merujuk kepada koronavirus, 'VI' pula virus, 'D' merujuk kepada 'disease' atau penyakit, sementara '19' merupakan tahun wabak tersebut berlaku.
Berkisarkannya, pastinya orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah diri agar tidak dijangkiti virus berkenaan.
Berikut perkongsian Dr Safiya mengenai tip bagi mengelak jangkitan virus itu:
1. Amalkan kebersihan diri dan tangan. Pastikan tangan sentiasa dibasuh menggunakan air mengalir dan sabun bagi memastikan ia bersih dengan sempurna apabila:
- sebelum makan
- selepas makan
- sebelum memegang bayi
- selepas bersin, batuk atau bersihkan hingus
- selepas keluar dari bilik air
- selepas memegang barang yang tercemar
- semasa kendalikan makanan
- sebelum dan selepas merawat luka
- selepas membuang sampah
- selepas memegang haiwan peliharaan
2. Lindungi diri jika berada di kawasan yang berisiko tinggi dengan memakai topeng penutup hidung dan mulut. Lebih penting lagi, jika bergejala, sentiasalah memakainya supaya tidak menjangkiti orang lain.
3. Kukuhkan imuniti badan dengan memastikan badan sentiasa mendapat bekalan vitamin C yang mencukupi setiap hari. Pilihlah vitamin C dari sumber semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana mengandungi vitamin, air dan serat.
4. Tingkatkan imuniti badan dengan cara yang mudah, murah dan ringkas iaitu tidur. Kajian menunjukkan tidur yang mencukupi iaitu tujuh hingga lapan jam bagi orang dewasa dan berkualiti terbukti boleh meningkatkan imuniti badan melawan kuman.
Barangkali tidak perlu menjadi paranoid. Kongsi Dr Safiya lagi, secara asasnya badan manusia mempunyai tiga jenis imuniti iaitu:
1. Imuniti 'innate' (semula jadi)
Pertahanan paling asas ada pada kebanyakan manusia sejak lahir lagi. Sebagai contohnya, kulit dicipta khas untuk melindungi semua bahagian di bawah kulit daripada ancaman kuman dan lain-lain. Jadi, kuman tidak mudah masuk ke dalam tubuh badan.
2. Imuniti adaptif
Sistem imuniti yang serba lengkap dan sangat bijaksana, antaranya ialah sel darah putih. Terdapat banyak jenis sel darah putih dan setiap satu daripadanya mempunyai tugas masing-masing. Ia boleh diibaratkan seperti tentera kerana bekerja keras sepanjang masa bagi memastikan tubuh badan sihat setiap hari.
3. Imuniti pasif
Imuniti pasif bererti badan menerima antibodi yang dihasilkan oleh badan orang lain. Sebagai contoh, susu ibu. Susu ibu mengandungi antibodi dan bermanfaat bagi bayi kerana badan masih belum dapat hasilkan antibodi sendiri. Justeru buat ibu-ibu, manfaatkanlah antibodi itu buat si kecil!
Dr Safiya turut berkongsi laman web mengenai kemas kini kes terkini Covid-19 dengan melayari worldmeters.info atau coronatracker.com.