KUIH qasidah merupakan antara kuih klasik yang menjadi tradisi sejak beberapa abad yang lalu.
Selain dipanggil qasidah, sesetengah orang memanggil kuih berkenaan sebagai hasidah.
Lazimnya, kuih berkenaan hanya akan mudah didapati ketika bulan puasa sahaja. Namun kini, disebabkan ramai pengusaha yang sudah pandai membuatnya, kuih itu boleh didapati di mana-mana dan dijadikan antara juadah ringkas minum petang.
Mengakui turut menggemari kuih berkenaan, Siti Fairina Forzi atau lebih mesra dengan panggilan Kak Na berkongsi resipi yang dipelajarinya daripada jirannya dengan SinarPlus.
"Sebenarnya, kuih qasidah amat mudah dibuat kerana hanya menggunakan beberapa bahan sahaja dan semuanya (bahan) sangat mudah didapati seperti tepung, daun pandan, santan dan lain-lain lagi."
Kak Na berkata, dalam menghasilkan kuih qasidah yang baik, penggunaan air kapur merupakan antara elemen penting.
"Air kapur berperanan untuk memudahkan adunan menjadi lebih sebati selain akan menghasilkan warna yang sedikit kekuningan," katanya.
Suri rumah itu menambah, bagi memastikan kuih tradisional itu tahan lama, adunan perlu dikacau secara konsisten bagi mengelak menjadi berketul-ketul.
"Ia (adunan) tadi perlu dikacau antara 30 hingga 40 minit. Pastikan benar-benar masak sebelum disejukkan," ujarnya sambil memberitahu, kos membuat kuih itu sangat murah iaitu hanya kira-kira RM5 sahaja untuk satu adunan.
Kak Na berkata, beliau sama sekali menolak untuk menggunakan pewarna semasa membuat kuih berkenaan. Ini kerana, baginya, kuih qasidah merupakan antara menu yang sihat dan tidak perlu ditambah 'perasa' atau elemen lain pada juadah berkenaan.
Kepada pembaca SinarPlus yang ingin mencuba membuat kuih yang enak ini dengan tekstur lembut dan lemak manis, Kak Na berkongsi tip:"Ketika memasak kuih tersebut, pastikan api sentiasa kecil dari awal sehingga adunan sebati. Kemudian, bawang goreng yang dijadikan sebagai bahan hiasan digaul dengan sedikit gula pasir. Barulah umphh."
PROFIL
Nama: Siti Fairina Forzi
Umur: 37 tahun
Asal dan menetap: Chuping, Perlis
Facebook: Siti Fairina Forzi
RESIPI KUIH QASIDAH
Bahan-bahan diperlukan:
- 2 cawan tepung gandum
- 6 cawan air
- 15 sudu gula pasir
- Sedikit garam
- 2 sudu teh air kapur masakan
Bahan hiasan:
- 5 ulas bawang kecil
- 2 sudu minyak masak
- Sedikit gula pasir
Cara menyediakan dan memasak:
- Satukan tepung gandum, air, gula, garam dan air kapur ke dalam periuk.
- Masak di atas dapur, kacau secara konsisten sehingga adunan menjadi sebati dan berkilat.
- Tuangkan ke dalam loyang dan sejukkan.
- Sementara itu, goreng bawang yang telah dimayang sehingga kekuningan dan harum dengan ditabur sedikit gula pasir.
- Tuangkan bawang goreng dan sedikit minyak di atas kuih yg telah sejuk tadi.
- Hidangkannya bersama air panas.
Sumber: Siti Fairina Forzi.
ANEKDOT
RESIPI KUIH ROPA
Bahan-bahan
- 2 cawan tepung gandum
- 2 1/2 cawan air
- 1 biji telur (gred A)
- Secubit garam
Bahan-bahan inti
- 3 biji ubi kentang (dipotong dadu, rebus 3/4 masak, angkat dan toskan)
- 500 gram ayam atau daging (dicincang)
- 1 biji bawang besar atau bawang Holland (dipotong dadu)
- 3 ulas bawang merah
- 1 ulas bawang putih
- Sedikit halia (ditumbuk halus)
- 3 sudu besar serbuk kari ayam atau daging
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak
Cara penyediaan kulit luar atau dadar:
- Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar. Kisar sehingga sebati.
- Masukkan 1 senduk adunan tadi ke dalam kuali (letakkan sedikit minyak). Lenggang-lenggangkan.
- Kelihatan sudah gelembung, agak kering, angkat dan ketepikan. Ulang sehingga habis adunan.
Cara penyediaan inti:
- Panaskan minyak masak secukupnya. Tumiskan bahan yang ditumbuk sehingga keluar bau. Masukkan rempah serbuk kari ayam/daging dan sedikit air. Masak sehingga naik minyak.
- Masukkan isi ayam atau daging yang dicincang. Apabila ayam atau daging empuk masukkan gula, garam dan ubi kentang yang direbus 3/4 masak tadi.
- Akhir sekali masukkan bawang besar dadu. Masak sehingga kering.
- Tutup api, angkat dan sejukkan.
Cara penyediaan kuih ropa:
- Ambil sekeping dadar tadi, masukkan inti secukupnya, lipat kiri dan kanan lalu digulung. Boleh terus dihidangkan atau digoreng garing.
Sumber: zaralovebaking.blogspot.com