Abah popular di Facebook Suami Masak Apa, cerita kisah rumah tangga

Iklan
Abah popular di Facebook Suami Masak Apa, cerita kisah rumah tangga

SEBUT sahaja perkataan 'abah', perhatian pasti terarah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang popular dengan gelaran tersebut ketika menguruskan situasi cemas negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

Namun, panggilan 'abah' juga sinonim buat pesara tentera Mej (B) Mohd Said Abd Amin, 61, dalam kalangan pengikut laman Facebook (FB) 'Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI)?' yang diwujudkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuaskan, Mac lepas sebagai usaha kerajaan menangani Covid-19.

Iklan
Iklan

Carian laman FB SMAHI yang khusus buat kaum Adam itu, mendapati ahli-ahlinya akan memuat naik pelbagai menu yang berjaya dimasak.

Namun, bagi Mohd Said, selain memuat naik menu masakannya, beliau turut menyelitkan pelbagai nasihat terutama berkaitan hal rumah tangga.

Iklan

Anak kelahiran Kampung Melayu, Kluang, Johor itu berkata, beliau memanfaatkan platform media sosial FB itu untuk memberi nasihat secara berkias terutamanya kepada golongan muda agar tidak tersasar dari landasan kehidupan.

Iklan

Antara kiriman abah"Paksa le sahabat...Aku pun sentiasa memaksa diri.. Inn Sya Allah..Akan tiba kau akan gelisah pada waktunya”, sambil disertakan sekeping gambar suasana dalam ruang solat masjid bertujuan menasihatkan rakan netizen untuk tidak lupa mengerjakan solat.

Menurutnya, pengalaman merantau ke beberapa negeri ketika berkhidmat dalam tentera banyak memberi pengajaran kepadanya untuk dikongsi bersama pengikut kumpulan Facebook berkenaan.

Beliau berharap agar coretan yang dipaparkan di Facebook dapat memberi sedikit 'cahaya' kepada rakan-rakannya yang mungkin mengalami masalah dalam kehidupan.

BERNAMA