Kisah cikgu Sam bersama anak Orang Asli, bukan anggap murid tetapi seperti keluarga

Iklan
Kisah cikgu Sam bersama anak Orang Asli, bukan anggap murid tetapi seperti keluarga

SIAPA pernah menyangka, finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah pernah berhasrat mahu berhenti daripada menjadi guru hanya tiga bulan selepas memasuki bidang pendidikan.

Samuel, atau lebih dikenali dengan panggilan cikgu Sam berkata, ketika itu beliau 'merasakan dirinya terlalu bagus' untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Rompin, yang merupakan sekolah untuk anak-anak Orang Asli.

Iklan
Iklan

"Dari situ, saya tahu anak murid Orang Asli inilah yang lebih banyak mengajar saya tentang kehidupan daripada saya sebagai seorang guru kepada mereka," katanya.

Iklan

Cikgu Sam, seorang anak jati Kuantan menambah, tanpa sedar beliau akhirnya berkhidmat di sekolah itu selama lapan tahun bermula dari tahun 2012 sehingga hubungan di bilik darjah 'berkembang' kepada ibu bapa dan penduduk kampung Orang Asli di situ.

Iklan

Anak kedua daripada empat beradik itu terpaksa berpisah dengan anak muridnya pada tahun 2019 kerana melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepimpinan di State University of New York, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, cikgu Sam kembali ke Malaysia pada pertengahan Jun lepas dan kini meneruskan pengajian secara dalam talian dan dijangka akan kembali ke universiti sekitar Januari tahun depan bagi menghabiskan semester akhir.

Sepanjang berada di AS, Samuel yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 25 Okt lepas, masih berhubung dengan anak muridnya kira-kira dua kali sebulan menerusi panggilan video dengan bantuan rakan pendidik di SK Runchang.

Hubungan erat itu juga mendorong cikgu Sam 'kembali' ke kampung itu dua kali seminggu, biasanya pada Isnin dan Jumaat untuk membantu anak muridnya yang agak ketinggalan disebabkan wabak Covid-19 dengan memberikan kelas tambahan selepas waktu persekolahan.

Niat beliau untuk membuat kejutan pada hari pertama kembali ke kampung itu pada pertengahan Ogos lepas tidak berjaya, apabila kereta yang dipandunya dikenali penduduk sekitar menyebabkan dia dikerumuni penduduk dan anak muridnya dalam masa singkat.

Ditanya adakah beliau memang bercita-cita menjadi seorang guru, cikgu Sam ketawa kecil dan berkata dirinya boleh diibaratkan memberontak apabila memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang bahasa, berbanding hasrat orang tuanya yang mahu beliau bergelar doktor atau jurutera.

Bidang bahasa, menurut Sam lebih sesuai dengan minatnya yang sukakan muzik dan kesusasteraan, bagaimanapun beliau mengakui minat mengajar tidak timbul langsung dalam diri beliau walaupun semasa berada di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada 2005, sehinggalah beliau menjejakkan kaki di SK Runchang.

Mengulas mengenai kejayaannya tersenarai sebagai 10 finalis daripada lebih 12,000 guru di seluruh dunia, cikgu Sam menyifatkan penghormatan itu adalah untuk anak muridnya dan ibu bapa mereka yang kerap menyokongnya walaupun semasa beliau melakukan perkara baharu seperti menggunakan ukulele dalam kelas.

Walaupun menyedari dirinya berdepan laluan sengit dengan kehebatan finalis lain, Sam berkata beliau berhasrat menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk meningkatkan aspek sosial Orang Asli termasuk aspek pendidikan, jika menerima anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu.

BERNAMA