KITA dikejutkan lagi dengan kejadian pemandu melawan arus sehingga menyebabkan dua kemalangan di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) semalam yang melibatkan seorang lelaki warga emas ditahan untuk menjalani siasatan.
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya yang mana menerusi rakaman yang kini tular, pemandu Perodua Kelisa berkenaan dilihat tidak memberhentikan kereta walaupun disuruh dan hanya berhenti selepas terlibat dengan kemalangan secara berhadapan dengan sebuah kereta yang lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun telah memandu melawan arus di lebuh raya menghala ke pusat bandar Shah Alam, menyebabkan kemalangan di kilometer (KM) 3.1 dan KM6.6.
Baharudin berkata, pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu.
"Siasatan awal mendapati, suspek memandu dari rumah di Seksyen 8 dan hendak ke pasar raya Tesco di Seksyen 13, tetapi dia telah tersalah jalan dan memasuki Lebuhraya LKSA, setibanya di Plaza Tol Sri Muda beliau tidak mempunyai kad ‘Touch n Go’, lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah,” katanya.
Rata-rata orang ramai yang melihat video yang kini tular itu berasa marah yang menganggap tindakan pemandu tersebut kurang wajar dan merbahayakan nyawanya serta pengguna jalan raya yang lain.
Mana tidaknya, kejadian seumpama itu juga pernah dilaporkan berlaku sebelum ini dan lebih malang lagi ia telah melibatkan kemalangan nyawa.
Sementara itu, salah seorang daripada ahli keluarga mangsa yang dilanggar warga emas tersebut turut memberi respons terhadap kejadian tersebut.
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Siti Syasya Syafiqah berkata, mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi itu adalah kakaknya dan meminta orang ramai tidak memarahi pemandu warga emas yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.
Oleh demikian, semua pemandu kenderaan di jalan raya hendaklah sentiasa dalam keadaan berhati-hati ketika di jalan raya.
Hal ini disebabkan kemalangan di jalan raya yang sering terjadi di sekeliling kita hampir setiap hari. Kekal fokus dan sentiasa pandu dengan berhati-hati adalah perkara yang sangat diperlukan oleh setiap pengguna jalan raya.
Sedikit kecuaian dan lalai ketika memandu juga mampu menyebabkan berlakunya kemalangan yang tidak disangka-sangka atau lebih malang lagi bila ia melibatkan kemalangan nyawa.
Pandulah dengan cermat, ingatlah pada insan yang tersayang!